Minta suapan: Dua penjawat awam ditahan SPRM

0
20
SPRM

SHAH ALAM – Dua penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kerana disyaki meminta wang suapan kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk menutup satu kes siasatan berkaitan dokumen palsu.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an berkenaan dipercayai meminta wang daripada seorang lelaki atas dakwaan telah menggunakan dokumen palsu dalam perjanjian sewaan rumah melibatkan wang berjumlah kira-kira RM4,000.

Sumber berkata, suspek pertama ditahan di sebuah restoran kira-kira jam 4 petang Isnin, manakala suspek kedua ditahan kira-kira jam 6 petang di sekitar daerah Gombak.

Berikutan itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan, tangkapan tersebut dan kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok (Selasa) untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya memetik laporan Sinar Harian, semalam.

Dalam perkembangan lain, Salim juga mengesahkan SPRM Selangor menahan seorang juruwang kedai makan berusia 21 tahun kerana dipercayai menerima wang rasuah kira-kira RM15,000 ke dalam akaunnya.

Salim berkata, suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor di Shah Alam pada jam 4 petang Isnin.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan wanita itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Sementara itu, sumber mendedahkan wang berkenaan merupakan bayaran memproses untuk mendapatkan kad pengenalan pemastautin tetap seorang lelaki warga Bangladesh.

“Wang yang dipindahkan ke dalam akaun juruwang wanita berkenaan merupakan bayaran kepada dua lelaki tempatan kononnya di mana sebahagian daripada wang tersebut akan diberikan kepada pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara bagi memudahkan proses kelulusan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here