MUDA pertaruhkan Setiausaha Agungnya sebagai calon di kerusi kontroversi Puteri Wangsa

0
37
Amira Aisya

JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mempertaruhkan Setiausaha Agungnya, Amira Aisya Abd Aziz untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Amira Aisya adalah tulang belakang kepada parti itu sejak dari awal penubuhannya lagi.

“Saya kenal Amira dah lama, sejak daripada belajar di UIA (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) lagi. Waktu itu, Amira adalah rakan saya dalam dunia debat dan waktu saya mula-mula jadi aktivis politik.

“Waktu saya bersama dalam Deklarasi Rakyat, Amira ada bersama saya. Waktu saya menolak tawaran ke Oxford untuk bawa suara rakyat dalam PRU14, Amira ada bersama saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, katanya, Amira juga pernah ditawarkan untuk menyertai parti Bersatu, namun beliau menolak pelawaan itu.

“Amira rasa Bersatu bukan tempat yang kena dengan jiwa Amira. Dia pun nak fokus bantu rangka polisi pendidikan di dalam Kementerian Pendidikan.

“Beberapa tahun lepas tu, Langkah Sheraton jadi, saya pun dah tak jadi Menteri. Kena buang pula dari Bersatu.

“Waktu itu, Amira mesej saya di Instagram, kalau saya tubuhkan parti yang angkat orang muda, bawa politik khidmat dan dasar, dia akan masuk.

“Bermula dari situlah, Amira jadi penggerak MUDA. Amira jadi Setiausaha Agung dan berkhidmat untuk MUDA kepada negara,” ujarnya.

Syed Saddiq berkata, sejak Amira menjawat jawatan itu, MUDA yang hanya bermula dengan beberapa orang ahli sahaja kini sudah mempunyai lebih 70,000 ahli.

“Saya tahu Amira memang susah hati apabila MUDA calonkan Amira dalam PRN Johor. Amira takut pada amanah yang besar kepada Rakyat Johor.

“Saya pesan kepada Amira, Amira dah lalui macam-macam ujian. Amira anak kedua daripada empat adik beradik, ayah Amira meninggal waktu Amira berusia 12 tahun. Walaupun begitu, Amira dah cekal lalui cabaran hidup sampai hari ini.

“Sama juga dengan MUDA. Dari MUDA tak berdaftar sampai hari ini bertanding dalam PRN Johor, Amira masih cekal bawa tanggungjawab untuk MUDA dan negara.

“Saya percaya Amira adalah cerminan sebenar MUDA yang mahu negara ini dipimpin dengan baik, yang angkat politik khidmat dan dasar,” ujarnya.

Kerusi DUN Puteri Wangsa sebelum ini menjadi kontroversi apabila turut diintai oleh PKR yang mahu meletakkan calonnya bagi merampas kerusi itu daripada Bersatu.

Bagaimanapun kerusi panas itu turut mendapat perhatian parti Amanah yang mahu meletakkan calonnya dan selepas beberapa siri rundingan PKR melepaskan kerusi itu kepada Amanah atas dasar persahabatan.

Namun begitu, Amanah kemudiannya menyerahkan kerusi itu kepada MUDA yang akhirnya menyebabkan beberapa pihak dalam parti PKR tidak berpuas hati dengan tindakan Amanah itu.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here