
CYBERJAYA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menempelak Datuk Seri Najib Tun Razak yang secara berterusan bermain dengan politik jelik tanpa berasa bersalah.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, sebagai individu yang telah didapati bersalah di mahkamah, sepatutnya Ahli Parlimen Pekan itu mempunyai sedikit rasa malu.
“Saya fikir Datuk Seri Najib elok ambil masa memuhasabah diri. Tak usahlah bermain politik jelik. Anda telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah yang berat. Sepatutnya ada sedikit rasa malu.
“Dalam Islam, malu itu adalah sebahagian daripada iman tetapi malangnya di dalam UMNO, seorang yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah yang disifatkan sebagai ‘national embarrassment’ oleh mahkamah diangkat sebagai boss dan dilaungkan slogan malu apa bossku.
“Di mana letaknya keimanan? Di mana maruah?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu juga meminta UMNO supaya tidak mengungkit lagi mengenai Muafakat Nasional selepas kedua-dua parti itu enggan mengadakan kerjasama.
“Ada hikmah Bersatu tidak bekerjasama dengan UMNO. Jadi Bersatu tidak terpalit dengan masalah moral yang membelenggu pemimpin UMNO.
“Secara peribadi saya malu untuk dikaitkan dengan parti yang masih mengangkat seorang yang telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah berat sebagai boss,” tegasnya.
Sementara itu menyentuh tuduhan Najib bahawa Bersatu telah mengkhianati UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, katanya, dakwaan itu adalah tidak benar.
Beliau berkata, tiada ada satu pun kerusi di mana calon Bersatu melawan UMNO dalam PRN Sabah.
Mengulas mengenai calon Ketua Menteri Sabah, katanya, beliau telah meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menamakan calon daripada UMNO tetapi sehingga kempen PRN Sabah berakhir tiada calon yang dikemukakannya.
“Kerana itu saya telah menamakan Datuk Seri Panglima Hajiji sebagai calon KM Sabah daripada PN sekiranya PN memenangi jumlah kerusi yang terbesar dalam kalangan parti-parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) .
“Dalam PRN Sabah, PN menang 17 kerusi, BN 14 kerusi dan PBS 7 kerusi. Ini menjadikan PN sebagai parti yang memenangi jumlah kerusi terbanyak dalam kalangan parti-parti GRS.
“Maka PN telah mencalonkan Datuk Seri Panglima Hajiji sebagai KM Sabah dan pencalonan ini dipersetujui oleh ADUN-ADUN GRS termasuk UMNO,” katanya.-MT