Operasi memadam kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung tamat

0
7
Anggota bomba ‘meraikan’ kejayaan memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG – Kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Jalan Byram yang bermula sejak hampir sebulan yang lalu akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya semalam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan perkara itu dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Dalam kenyataannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran khususnya pasukan bomba dan penyelamat negeri.

“Alhamdulillah misi memadam kebakaran di tapak pelupusan Pulau Burung telah berjaya disempurnakan sepenuhnya.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pasukan #WiraMerah Pulau Pinang serta pelbagai agensi persekutuan dan negeri dalam proses pemadaman kebakaran. Kerjasama bersepadu dapat mengakhiri misi ini dengan jayanya,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Negeri, Phee Boon Poh berkata, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri akan terus memantau kawasan terbabit bagi memastikan tiada lagi titik panas yang boleh menyebabkan kebakaran semula.

Selain itu, pihak berkuasa juga akan memantau bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di stesen Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram demi keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.

Kebakaran di tapak pelupusan sampah yang bermula pada 12 Januari lalu menyebabkan 10 sekolah di kawasan berhampiran ditutup dan penduduk dipindahkan ke lokasi selamat.

Operasi memadamkan kebakaran yang dikategorikan tahap satu itu berdepan kesukaran ekoran api yang merebak dalam kepadatan timpunan sampah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here