Orang ramai setuju keputusan KPM tidak benarkan sekolah menengah dijadikan pusat pengundian

0
26
Sekitar tempat proses pengundian di Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah pada Pilihanraya Negeri Melaka baru-baru ini

CYBERJAYA – Orang ramai khususnya ibu bapa yang anak mereka bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambut baik ketegasan Kementerian Pendidikan (KPM) yang tidak membenarkan sekolah menengah di seluruh Johor dijadikan sebagai pusat pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Rata-rata mereka meminta supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencari lokasi lain selain bangunan sekolah supaya fokus calon SPM tidak terganggu.

“Terbaik DRJ (Datuk Dr Radzi Jidin) kerana tidak menyusahkan tenaga pengajar, semoga pelajar yang mengambil SPM selamat menjalani peperiksaan dan dapat menjawab soalan-soalan yang diberi dengan tenang,” komen seorang pengguna media sosial di laman Facebook Menteri Pendidikan itu.

“Jangan kacau sekolah time PRN. Sokong apa yang dilakukan oleh DRJ. Kita tak nak anak-anak terkesan sehingga mengganggu proses SPM. Undi ada setiap lima tahun, tapi pelajar hanya sekali saja ambil SPM, biarlah mereka selesa,” komen seorang lagi pengguna.

Dalam pada itu, terdapat pengguna juga yang meminta supaya dewan orang ramai atau balai polis dijadikan lokasi pembuangan undi.

“Jadikan balai polis di setiap daerah sebagai pusat pembuangan undi. Lebih praktikal dan akan lebih tenteram dan teratur,” komen seorang pengguna.

“Kasihan menteri pendidikan terpaksa jelaskan keadaan, kan lagi senang guna semua dewan serba guna dan sekolah rendah dah selesai masalah. Rakyat dah matang menteri hanya kerajaan dan SPR perlu jadi matang dan jujur untuk menangani masalah politik,” sokong seorang lagi pengguna media sosial.

Datuk Dr Radzi Jidin

Terdahulu, Radzi dalam satu hantaran video menerusi laman Facebooknya berkata, pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada SPR bagi menjelaskan perkara berkenaan, berdasarkan maklum balas dan maklumat diterima pada sesi libat urus selama tiga hari bersama guru, warga pendidik dan pentadbir sekolah di Johor, baru-baru ini.

Beliau berkata, ini kerana, semua sekolah menengah di seluruh negara akan digunakan bagi pelaksanaan peperiksaan SPM.

Katanya, ia juga selari ketetapan KPM yang tidak mahu premis itu digunakan, jika PRN Johor diadakan dalam tempoh berkenaan.

“Dalam konteks SOP baharu ini, hampir keseluruhan bilik darjah (kelas) di sekolah digunakan. Pertama sekali sebagai bilik peperiksaan utama, namun begitu kita ada juga bilik alternatif sekiranya murid perlu dipindahkan, ke manakah mereka akan dipindahkan? Maka mereka akan dipindahkan ke bilik alternatif.

“Pada masa sama, kita mempunyai bilik khas ‘just in case’ (sebagai persediaan) sekiranya ada keadaan tertentu yang memerlukan murid diasingkan daripada murid lain. Ini belum bilik isolasi (pengasingan) dan bilik lain.

“Maka secara umumnya, secara keseluruhan hampir kesemua bilik di sekolah ini atau bilik darjah di sekolah digunakan bagi tujuan peperiksaan SPM.

“Pada Khamis, sebelum pengundian nanti akan ada peperiksaan Matematik dan ini akan membabitkan semua calon SPM di seluruh negara, termasuklah di Johor,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here