Ordersini.com tawar kedai online percuma untuk usahawan

0
28
Iffat Salleh

CYBERJAYA – Memanfaatkan sepenuhnya teknologi dan peluang perniagaan dalam eko-sistem digital hari ini menjadi antara syarat untuk usahawan tampil lebih berjaya.


Menyedari keperluan perniagaan yang semakin kompleks itu, syarikat bumiputera, OS Startup Sdn. Bhd. tampil memperkenalkan platform e-dagang, Ordersini.com.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iffat Salleh berkata, Ordersini dibangunkan untuk membantu usahawan meneroka dunia perniagaan digital, sekaligus menjadikannya pusat sehenti yang menghimpun dan menghubungkan pelanggan dengan usahawan.


Memperkatakan kelebihan platform itu, Ordersini menawarkan sistem yang direka khas untuk memudahkan usahawan mengoperasikan kedai secara atas talian.


“Sistem kami dibina dengan ciri-ciri ‘mesra’ untuk usahawan yang baru berjinak dalam perniagaan online. Proses ini dipermudah dengan tunjuk ajar melalui video-video tutorial.


“Setakat ini kebanyakan daripada usahawan yang mendaftar tidak berdepan banyak masalah walaupun dalam kalangan warga emas,” kata anak kelahiran Kedah itu.


Mengimbau permulaan Ordersini.com, Iffat berkata idea tersebut tercutus selepas beliau mewujudkan laman web untuk menjual dan mempromosikan produknya sendiri yang kemudian ‘dibuka’ kepada rakan-rakan usahawan beliau.

Salah satu daripada penjual produk yang bernaung di bawah platform Ordersini.com


“Selepas melihat sambutan yang menggalakkan, saya memikirkan cara untuk menaik taraf dan membina satu sistem yang lengkap untuk ditawarkan kepada usahawan.


“Saya mula berniaga sekitar 2014 dan sistem ini dilancarkan dua tahun kemudian. Ketika mula-mula menawarkan platform ini kepada orang luar, saya hanya mengenakan bayaran RM10 sebulan.


“Dari semasa ke semasa saya melakukan banyak kajian dan menaik taraf sistem yang diperkenalkan sehingga kini mempunyai kira-kira 330,000 pengguna dan lebih 3,000 penjual (usahawan) aktif,” katanya yang bermula dengan modal RM20,000.


Menurut Iffat, platform itu terus dikembangkan selepas beliau menerima geran CRADLE daripada kerajaan berjumlah RM300,000 pada 2019.


Menariknya kata Iffat, para usahawan yang berdaftar dengan Ordersini.com juga diberikan sebuah laman web percuma untuk melengkapkan ‘kedai’ mereka.


“Selain pakej percuma, Ordersini juga menawarkan pakej berbayar dengan komitmen RM49, RM99 dan RM149 sebulan mengikut keperluan usahawan.


“Selain produk-produk fizikal, kami juga menyediakan ruang niaga kepada usahawan produk digital,” ujarnya yang kini mempunyai 7 orang kakitangan.


Bagi pakej percuma katanya, usahawan yang mendaftar boleh menjual seberapa banyak item produk dengan kadar caj serendah RM2 bagi setiap transaksi.


“Jangan terkejut kerana ada dalam kalangan usahawan pakej percuma kami yang telah pun menjana ratusan ribu ringgit jualan sebulan.


“Seperti platfom lain yang popular, Ordersini.com juga dilengkapi dengan sistem pembayaran online dan khidmat penghantaran ke seluruh negara,” katanya.


Menurut Iffat, Ordersini.com sehingga kini telah merekodkan jumlah transaksi jualan melebihi RM150 juta membabitkan kira-kira 40,000 produk.


Antara jenama popular yang bernaung di bawah platform itu termasuk Doktor Kayu, Phyzisis, Yongtaufoo, AHB Tading dan banyak lagi.


Tambah Nas Iffat, pihaknya menyasarkan penambahan peniaga sehingga 10,000 di dalam platform berkenaan dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.


Selain itu beliau berkata akan memperluaskan ekosistem Ordersini.com dengan memperkenalkan satu lagi platform jualan, iaitu Home Storage.


“Secara ringkasnya, kami akan menyediakan satu gudang penyimpanan produk usahawan dan kami akan melakukan pemasaran melalui penstriman video, dan siaran live di media sosial supaya maklumat mengenai produk usahawan sampai kepada orang ramai.


“Untuk setiap item yang terjual, kami hanya mengenakan caj sebanyak RM2. Pendek kata, peniaga hanya letak barang, kemudian tunggu duit masuk sahaja,” katanya.


Sebagai rancangan masa depan pula, pihaknya juga bercadang untuk memperluas pasaran ke Indonesia, Brunei dan Singapura ekoran sistem yang dibangunkan itu mendapat sambutan dari negara jiran berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here