PAPSMA sokong ketegasan Bangladesh tolak monopoli syarikat bawa pekerja asing ke Malaysia

0
52
Gambar fail oleh MT/Farid Janudin

CYBERJAYA – Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menyokong penuh ketegasan kerajaan Bangladesh untuk tidak menghadkan jumlah agensi pekerjaan yang akan membawa masuk pekerja asing dari negara itu ke Malaysia.

Menurut Setiausaha Agungnya, Dr. N. Sukumaran, jika tiada tindakan tegas diambil, ia akan menyebabkan berlakunya monopoli dan manipulasi daripada agensi pekerjaan berkenaan.

“Keputusan yang dibuat oleh kerajaan Bangladesh adalah sangat tepat pada masanya dalam mengisi kekosongan pekerja asing di pasaran.

“Malah langkah itu juga dapat mempercepatkan lagi proses kelulusan oleh kerajaan Malaysia kerana jika hanya 25 agensi pekerjaan yang dipilih, Kementerian Dalam Negeri terpaksa membuat satu kaedah atau projek baharu bagi menjayakan pelaksanaannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmad berkata, Bangladesh telah membuat pendirian berhubung cadangan itu dan menegaskan untuk memberi peluang sama rata kepada semua agensi pengambilan pekerja asing berlesen tanpa dimonopoli pihak tertentu.

Ia susulan dakwaan daripada Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh (BAIRA) bahawa kerajaan Malaysia meminta agar negara berkenaan membenarkan penghijrahan pekerja melalui satu agensi pekerjaan dengan menetapkan hanya 25 syarikat dibenarkan terlibat dalam proses itu.

Sementara itu, Sukumaran berkata, jika kerajaan membenarkan 25 agensi pekerjaan terlibat dalam proses mengambil pekerja asing, ia tidak ubah seperti Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA) yang diuruskan oleh sebuah syarikat pada 2016 hingga 2018.

Beliau mendakwa sistem tersebut telah menyebabkan berlakunya eksploitasi dan monopoli terhadap pekerja asing terutamanya dari Bangladesh.

Malah, beliau mendakwa, mereka yang terlibat dalam projek itu pada 2016 merupakan dalang yang sama untuk melobi projek membawa masuk pekerja asing dari Bangladesh secara monopoli.

“Ini merupakan modus operandi sindiket berkenaan yang mengaut keuntungan jutaan ringgit daripada pekerja yang tidak bersalah yang sanggup menggadaikan harta benda mereka untuk ke Malaysia.

“Adalah dipercayai dalang kepada sindiket ini merupakan orang yang sama terlibat dalam projek tahun 2016, yang hanya mahu mengaut keuntungan jutaan ringgit daripada pekerja Bangladesh.

“Bagaimanapun, situasi kini berbeza selepas kerajaan Bangladesh tidak bersetuju dengan langkah itu kerana ia telah menyebabkan pelbagai masalah timbul di samping ejen di Bangladesh perlu mengeluarkan jumlah dana yang besar bagi membawa pekerja yang sah masuk ke Malaysia bagi tempoh 2016 hingga 2018,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here