
KUALA TERENGGANU – TNB hari ini menafikan dakwaaan paras air di Empangan Hidro Janakuasa Kenyir berada pada paras merbahaya dan mungkin menyebabkan banjir besar seperti yang tular di media sosial.
Menurut kenyataan TNB, paras air di empangan tersebut masih berada di bawah paras limpah dan masih terkawal setakat ini.
Katanya, pihaknya sedang dan akan terus melakukan pemantauan mengenai keadaan tersebut ekoran hujan lebat dan banjir di Terengganu.
“Maklumat terkini mengenai keadaan paras air juga akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada pihak berkuasa.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat yang sahih melalui saluran rasmi TNB di Facebook, TNB Careline atau Twitter Tenaga_Nasional sahaja,” menurut kenyataan itu.
Hari ini tular di media sosial satu video yang memaparkan limpahan air seperti kepala air di kawasan pencawang elektrik yang dikaitkan dengan empangan di Kuala Berang, Terengganu.
Di dalam video berkenaan, orang ramai diminta bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir besar kerana limpahan air di empangan berkenaan.
Sementara itu, keadaan banjir di Hulu Terengganu kini dilaporkan bertambah buruk terutama di Ajil, Kuala Berang, Jenagor, Pasir Nering, Kampung Lebok, Kampung Dura dan kawasan di sepanjang Sungai Terengganu.
Kejadian juga menyebabkan beberapa kejadian tanah runtuh dan hakisan.
Di sekitar Bukit Payung, Cabang Tiga, Pulau Musang dan Pulau Rusa, air dilaporkan mula menenggelamkan jalan-jalan utama namun masih bnoleh dilalui.
