Pas beri amaran kepada P. Ramasamy supaya tidak menyentuh sensitiviti Islam

0
108
Naib Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas, Hanafi Zulkapli

CYBERJAYA – Pas mengecam dan mengutuk keras kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy yang berbaur perkauman berhubung kes terkini pengesahan status agama anak yang berlaku di Perlis.

Naib Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas, Hanafi Zulkapli berkata, kenyataan pemimpin kanan DAP itu dalam Facebooknya tidak sepatutnya berlaku memandangkan isu tersebut telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa dan judisiari.

“Dalam kenyataan di laman Facebook miliknya, Ramasamy dengan jelas menggunakan perkataan dan terma yang membawa gambaran buruk terhadap peranan pihak berkuasa agama Perlis dalam isu ini. Sedangkan isu ini sudahpun dalam tindakan pihak berkuasa dan judisiari.

“Perkara ini menjadi polemik apabila pemimpin cauvinis dan ekstrem dari DAP seperti Ramasamy mengambil kesempatan untuk menyalakan api sensitiviti agama dan perkauman, menerusi fitnah tuduhan yang tidak tepat dan melampau kepada pihak berkuasa agama negeri Perlis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hanafi, penggunaan terma penculikan dan pemaksaan yang dikaitkan kepada pihak berkuasa agama negeri dalam isu ini, adalah sangat tidak tepat dan berniat jahat.

Malah, katanya, pemimpin DAP itu juga telah bertindak kontradik dengan diri sendiri apabila beliau mengatakan isu Loh Siew Hong bukan isu agama tetapi isu undang-undang.

“Tetapi dalam kenyataannya, nada dan terma yang digunakan amat jelas bersifat negatif serta berniat buruk kepada pihak berkuasa agama negeri Perlis.

“Dewan Pemuda Pas memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak agar tidak mencucuh api yang menyentuh sensitiviti agama Islam dan perkauman dengan kenyataan yang bersifat ekstrem.

“Dalam isu pengislaman anak Loh Siew Hong, Dewan Pemuda Pas menasihatkan agar semua pihak menghormati badan kehakiman dan pihak berkuasa undang-undang, serta meletakkan kepercayaan kepada mereka untuk menyelesaikan konflik ini seadilnya,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here