
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menyokong penuh langkah kerajaan supaya memorandum persefahaman (MoU) berhubung Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) segera dimeterai.
Presidennya, Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid berkata, perkara itu jelas akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.
“PAPSMA menyokong penuh dan berterima kasih diatas keputusan mesyuarat jemaah menteri yang telah mengambil keputusan supaya MoU berhubung PDI untuk segera dimeterai.
“Bagi pihak kesemua persatuan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia , kami menyambut baik keputusan ini agar keprihatinan kerajaan dapat memberi manafaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Megat Fairouz berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan yang mana kerajaan telah memutuskan untuk menyegerakan MoU berkenaan.
Menurut Saravanan, perkara itu telah dibincangkan dengan secara mendalam dalam beberapa siri mesyuarat jemaah menteri termasuklah pada 9 Februari lalu.
Tambah Saravanan, beliau dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempunyai matlamat yang sama iaitu melindungi serta menjaga kebajikan dan kesejahteraan pekerja warga Indonesia di dalam negara terutama yang membabitkan isu seperti gaji, cuti dan kebajikan pekerja.
MoU berkenaan akan dimeterai beliau dan rakan sejawatnya Menteri Ketenagakerjaan Indonesia Ida Fauziyah.
Untuk rekod, pada 24 Januari lalu, Kuala Lumpur dan Jakarta dilaporkan bersetuju untuk melaksanakan projek rintis pengambilan 10,000 pekerja PDI dari negara jiran itu bermula bulan ini selepas MoU ditandatangani.