Pelajar IPT dibenarkan masuk ke kampus secara berperingkat mulai 1 Mac – Hishammuddin

0
45
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Bermula 1 Mac ini kerajaan membenarkan kemasukan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dibuat secara berperingkat.

Menurut Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, Datuk Seri Hishammuddin Tun Husesin, kebenaran itu termasuk melibatkan pelajar universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan institusi pendidikan tinggi swasta.

“Setelah mengambil kira pandangan dan syor daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini sukacitanya saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan membenarkan kemasukan pelajar IPT KPT secara berperingkat mulai 1 Mac 2022.

“Dalam usaha memastikan kemasukan pelajar ini dilaksanakan dengan selamat, KPT bersama KKM telah menetapkan prosedur iperasi standard (SOP) yang wajib dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, SOP tersebut melibatkan jumlah kemasukan pelajar yang dibenarkan iaitu sebanyak 70 hingga 100 peratus mengikut kapasiti IPT masing-masing.

Selain itu, pelajar dan staf yang lengkap vaksinasi dan tidak lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke kampus namun bagi pelajar dan staf IPT yang tidak divaksinasi lengkap, mereka perlu membuat ujian RT-PCR dan berkeputusan negatif tiga hari sebelum masuk ke kampus.

Pada masa sama, katanya, ujian pengesanan Covid-19 menggunakan kaedah RTK-Ag perlu dilakukan seminggu sekali bagi mereka yang tidak divaksinasi lengkap, mengikut Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan yang dikeluarkan oleh KKM.

“Bagi pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu, hanya yang lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan masuk ke Malaysia.

“Mereka juga wajib menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari atau sekiranya telah mendapat dos penggalak, tempoh kuarantin ialah selama lima hari,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, setiap IPT mestilah mempunyai kapasiti untuk menampung bilangan pelajar yang hadir secara fizikal dan sentiasa mematuhi SOP pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang ketat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here