Pemandu Nisan Navara sebabkan 4 sekeluarga maut didakwa atas kesalahan membunuh

0
28
Ahamad Fuad Mohd Salleh dibawa ke Mahkamah Majistret Bentong hari ini. Kredit gambar Utusan Online

BENTONG – Seorang lelaki yang terlibat dalam kemalangan maut di KM 2, Jalan Lebu-Felda Mempaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bentong, hari ini atas pertuduhan membunuh empat beranak.

Ahamad Fuad Mohd Salleh, 44, dari Kuala Lipis, Pahang, berdepan empat pertuduhan membunuh selain dua lagi pertuduhan iaitu memiliki dan menggunakan dadah, lapor Harian Metro.

Mengikut empat pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Raihan Mohamad, 43; dan tiga anaknya iaitu Ahda Dalili Mohd Nazri, 24; Ahmad Muaz, 7; serta Ahda Imtinan, 5.

Perbuatan itu dilakukan di KM 2, Jalan Lebu-Felda Mempaga di sini, 2.30 petang, 28 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Shahrul Ekhsan Hasim.

Bagi dua pertuduhan dadah, peniaga ikan sangkar terbabit mengaku tidak bersalah menggunakan dadah jenis methamphetamine dan memiliki dadah itu seberat 0.75 gram.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi kemalangan pada jam 11.45 pagi dan pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bentong, pada jam 12.05 tengah malam, 29 Januari lalu.

Bagi kesalahan berkenaan, bapa kepada lapan anak itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara hingga dua tahun dan Seksyen 12(2) akta sama membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Punitha manakala tertuduh diwakili peguam Farah Idayu Nusi.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.

Dalam kejadian ngeri itu, hasrat satu keluarga yang mahu menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Lumpur berakhir tragedi apabila empat daripadanya maut selepas kenderaan mereka dirempuh pacuan empat roda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here