
CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi sulung ke Kemboja dan Thailand bermula hari ini sehingga 26 Februari ini.
Menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan, lawatan-lawatan tersebut adalah untuk memenuhi jemputan daripada Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen dan Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayut Chan-o-cha.
“Semasa lawatan rasmi ke Kemboja, Perdana Menteri dijadual mengadakan kunjungan menghadap ke atas Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni di samping pertemuan dengan Perdana Menteri, Hun Sen untuk membincangkan pengukuhan hubungan dua hala, kerjasama pasca pandemik Covid-19, kerjasama ASEAN, serta isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
“Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Senat dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja. Seterusnya, Perdana Menteri akan turut bertemu dengan Keluarga Malaysia di Kemboja,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, katanya, semasa lawatan rasmi ke Thailand, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand bagi membincangkan hala tuju kerjasama pelbagai bidang antara Malaysia dan Thailand.
Menurutnya, bidang-bidang utama meliputi kerjasama ekonomi, kerjasama pasca pandemik Covid-19, pembukaan sempadan antara kedua-dua negara, dan projek-projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat.
“Program Perdana Menteri turut meliputi sesi dengan Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC) dan sesi ramah mesra bersama Keluarga Malaysia di Bangkok.
“Lawatan-lawatan Perdana Menteri ke Kemboja dan Thailand mencerminkan hubungan rapat dan menyeluruh Malaysia dengan kedua-dua negara jiran and rakan ASEAN tersebut.
“Ianya juga dapat membuka peluang kepada Malaysia dan kedua-dua negara berkenaan untuk meneroka inisiatif bersama dalam usaha pemulihan pasca-pandemik, serta dalam menangani cabaran serantau dan antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, katanya, lawatan-lawatan itu akan berlangsung mengikut pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi pencegahan Covid-19 yang berkuatkuasa di Malaysia, Kemboja dan Thailand.