
YAN – Gara-gara tidak mendapat duit untuk membeli dadah, seorang lelaki sanggup memukul dan menendang bapa tirinya di muka serta dada.
Dalam satu video yang tular, lelaki tersebut bertindak memukul dan menendang sebanyak dua kali di dada dan muka bapa tirinya yang berusia 71 tahun itu sambil disaksikan ibunya.
Memetik laporan Harian Metro, lelaki berusia 30 tahun yang tidak bekerja itu dikatakan bertindak demikian ketika berada di rumah keluarganya di Kampung Ruat, di sini, dalam kejadian pada 8.30 pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, berdasarkan maklumat didapati anak tiri mangsa adalah seorang penagih dadah tegar dan dilaporkan sering memukul warga emas terbabit sekiranya enggan memberikan duit kepadanya untuk membeli dadah.
“Mangsa yang mengalami sakit di dada dan muka kemudiannya membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatannya.
“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di pekarangan rumah pasangan warga emas terbabit,” katanya ketika dihubungi akhbar tersebut.
Shahnaz berkata, suspek kemudiannya ditahan pada 6.45 petang di kawasan Lubuk Boidi sini, dan siasatan lanjut mengenai kejadian itu sedang dilakukan.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek adalah seorang pesakit mental dan memiliki kad orang kurang upaya (OKU) mental yang disahkan oleh isteri mangsa.
Bagaimanapun, katanya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) 2012.
Terdahulu tular video berdurasi 30 saat hari ini, dengan aksi lelaki terbabit tanpa belas ihsan bertindak di luar kawalan terhadap bapa tirinya hingga menyebabkan ibunya meminta orang kampung melaporkan kejadian itu kepada polis.