Penduduk Masjid Tanah sedih Malakat Mall diarahkan keluar, berdoa supaya digantikan dengan rezeki lebih baik

0
1417
Malakat Mall Masjid Tanah

CYBERJAYA – Rata-rata penduduk di Masjid Tanah, Melaka sedih apabila pusat beli belah Malakat Mall di daerah itu terpaksa menutup operasinya selepas pemilik bangunan tersebut mahu mengambil alihnya semula.

Malah, terdapat penduduk setempat yang mempersoalkan tindakan pemilik premis tersebut iaitu Mara Inc yang mahu mengambil semula bangunan tersebut yang sebelum ini kosong dan terbiar begitu sahaja sebelum diambil alih Kumpulan Malakat Eco pada tahun lalu.

“Senang kerja, dah glamour ambil balik, sebelum ini jadi gajah putih,” komen Hamizan Hadi dalam laman Facebook Komuniti Masjid Tanah.

Dalam pada itu terdapat juga pihak yang terkejut dan mempersoalkan harga sewa bangunan itu yang tinggi ketika masalah wabak penyakit Covid-19 masih belum selesai.

“Mahalnya sewa, sedihnya. RM70,000 sebulan mana nak cekau kan,” tulis Nuyoi Yun.

Dalam pada itu, orang ramai tidak putus-putus memberikan kata semangat kepada Malakat Mall untuk tidak berputus asa dan bangkit semula dalam perjuangan memartabatkan ekosistem ekonomi Islam.

Menerusi perkongsian berita dalam laman Facebook Presiden Kumpulan Malakat Eco, Coach Mohd Fadzil Hashim, pengikutnya mendoakan semoga Malakat Mall dapat bangkit dan lebih maju dari sekarang.

Coach Fadzil hadir ketika majlis Gerobok Rezeki anjuran BN Masjid Tanah tahun lalu

“Maka pada setiap kesusahan akan diselangi dengannya kejayaan. Percaya apa yang Coach telah usahakan selama ini untuk membantu orang Islam pasti akan dapat nusrah Allah,” tulis Samsudeen Abd Aziz.

“Alhamdulillah. Tn. Hj. Fadzil Hashim. Jangan pernah lelah dalam ujiannya. Moga sentiasa dalam rahmat Allah SWT. Amin,” komen Ahmad Syarifuddin.

“Teruskan usaha Coach. Ramai yang mendoakan supaya lebih maju jaya,” komen Mohd Arif Wahab.

“Moga Allah ganti yang lebih baik pada team Malakat, insya-Allah, amin,” tulis Mohd Azwan.

Pusat beli belah Malakat Mall Masjid Tanah sebelum disewa oleh Kumpulan Malakat digelar sebagai projek gajah putih atau projek sakit dalam kalangan penduduk setempat.

Ia berikutan selepas enam tahun siap dibina bangunan milik anak syarikat Mara itu tidak disewakan kepada mana-mana pihak.

Kafe Bunch-Oh di Malakat Mall Masjid Tanah yang telah mula dikemas

Selepas kejayaan pembukaan Malakat Mall Cyberjaya di sini, Kumpulan Malakat ditawarkan peluang untuk beroperasi di premis tersebut dan menyahut cabaran itu dalam usaha untuk membangkitkan semula ekosistem ekonomi Islam.

Bagaimanapun Malakat Mall Masjid Tanah yang hampir setahun beroperasi di pusat beli belah itu terpaksa berhadapan dengan keadaan ekonomi yang mencabar selepas beberapa kali terpaksa beroperasi dalam keadaan penuh kekangan susulan ‘lockdown’ yang diumumkan oleh kerajaan.

Situasi tersebut menyebabkan pusat beli belah itu turut menerima tempias kesan daripada ekonomi yang tidak menentu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here