Penekanan pendidikan montessori mampu elak tekanan kepada kanak-kanak

0
15
Efizah Mohtar Rasali

CYBERJAYA – Pendekatan pendidikan berteraskan montessori yang tidak memaksa dan memberi fokus terhadap fitrah anak-anak mampu mengelakkan mereka daripada menerima tekanan di awal usia.

Menurut Timbalan Presiden Kumpulan Malakat Eco, Efizah Mohtar Rasali, secara asasnya pendidikan montessori yang menggunakan kaedah pembelajaran secara ‘hands on’ atau belajar melalui pengalaman memberi peluang dan ruang kepada setiap anak-anak untuk meneroka suasana persekitaran mereka dengan lebih bebas.

“Secara nalurinya, fitrah kanak-kanak adalah mahu bermain, jadi kami aplikasikan elemen pembelajaran dalam setiap aktiviti yang mereka lakukan,” kata Efizah ketika muncul dalam program Kartini terbitan Bernama, hari ini.

Efizah yang juga merupakan antara Pengasas Brainy Bunch menjelaskan, dalam setiap aktiviti yang dilakukan, penerapan nilai turut dikukuhkan dengan lima elemen penting yang digariskan falsafah Brainy Bunch iaitu Brainy Roadmap.

“Dalam setiap aktiviti, kita turut menerapkan 5 elemen tersebut iaitu ‘the big why’, niat, matlamat, pengamalan dan impak.

“Semua ini dilakukan kerana kami percaya, kanak-kanak itu umpama kain putih, jadi apa yang kami tekankan sekarang, dia akan ingat sampai masa akan datang,” jelas Efizah lagi.

Penerapan elemen ini, kata Efizah, merupakan usaha Brainy Bunch bagi menjadikan setiap kanak-kanak yang melaui sistem pendidikannya berjaya menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat, dan juga menjadi anggota masyarakat yang bermanfaat.

“Pada kami, menjadi genius dalam akademik itu adalah sesuatu yang subjektif, kerana ia tidak bermaksud menjadi yang terbaik.

“Harapan kami adalah melahirkan individu yang mempunyai adab dan nilai diri yang tinggi, dan akhirnya memberi manfaat kepada ibubapa, keluarga, dan masyarakat akhirnya,” kata Efizah lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here