‘Penjelajahan adalah kehidupan’

0
26
Khairil (dua, kiri) sebelum memulakan kayuhannya dari Malakat Mall ke Putra Perdana bagi menamatkan kayuhan solonya mengelilingi negara, hari ini.

CYBERJAYA – “Kalau nak buat sesuatu yang gila, kita kena jadi gila; gila macam mana, kena ada wawasan. Kalau kita buat sesuatu macam org normal, kita takkan berjaya.”

Demikian pesanan Penjelajah Negara, Khairil Aslan AB Rasid kepada Malakat Tribune, hari ini.

Khairil ditemui ketika singgah di Malakat Mall, Cyberjaya sebelum menamatkan Kayuhan Solo Mengelilingi Malaysia di Putra Perdana, tengah hari tadi.

Kayuhan selama 40 hari tersebut merupakan sesi pemanas badan buat Khairil yang sedang dalam misi besar untuk mencapai sasaran mendaki tiga puncak tertinggi dunia – Gunung Everest, Gunung Lhose dan Gunung Makalu – menjelang 2023.

Khairil (tengah) dibawa melawat Malakat Mall sejurus tiba di pasar raya berkenaan, hari ini.

Kata Khairil, beliau memulakan kayuhannya pada 13 Januari lalu di Taman Greenwood, Kuala Lumpur dan telah melalui sejauh kira-kira 2,600 kilometer (km) sebelum tiba di persinggahannya di Malakat Mall, Cyberjaya.

“Ini adalah misi pemanas badan saya mengayuh sebuah fat bike dengan full load seberat 65 kilogram sebagai persediaan saya untuk pendakian.

“Projek pendakian tiga puncak itu dijangka bermula pada April tahun hadapan,” kata Khairil.

Selepas ini, Khairil berkata, beliau akan ke Pakistan pada bulan Mei untuk menjalani latihan pendakian gunung ais.

Beliau berkata, selama 40 hari berbasikal mengelilingi Semenanjung secara lawan arah jam, penuh dengan cabaran namun beliau amat bersyukur kerana perjalanannya penuh dengan cerita manis dan menyeronokkan.

“Ke mana saja saya pergi, saya jumpa pelbagai rakyat Malaysia yang sudi membantu dan memberi sokongan.

“Cabaran dan pengalaman sebegini sebenarnya memberi pengajaran kepada kehidupan. Kita perlu melakukan perkara diluar kotak sekiranya mahu mengetahui sejauh mana kehidupan kita,” kata Khairil lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here