
SHAH ALAM – Seorang penunggang motosikal yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 15.7 Lebuhraya Persekutuan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Klang, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mangsa yang berumur 20 tahun menunggang motosikal Yamaha Y150 dan tidak melalui lorong motosikal terlanggar belakang sebelah kiri kereta Proton Iriz yang berada di lorong paling kanan.
“Ketika itu Proton Iriz itu sedang mengelak ke kiri jalan kerana kenderaan di hadapannya membrek secara mengejut.
“Pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal itu terjatuh dan dilanggar kereta Honda City dari arah belakang manakala motosikal itu terbabas lalu terlanggar dua kereta lain iaitu Mercedes dan Toyota Vios.
“Kereta Toyota Vios yang dilanggar itu tertolak ke depan dan terlanggar bahagian belakang kereta Perodua Myvi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baharudin berkata, penunggang motosikal itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk mendapat rawatan dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
Beliau berkata, kelima-lima pemandu kereta itu tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Menurutnya, saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Mohd Zulkifli Razak 019-4475767.