
CYBERJAYA – Kerajaan membenarkan upacara keagamaan melibatkan perayaan Maasi Magam dan Chinggay yang masing-masing akan disambut oleh masyarakat India dan Cina dibuat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Menurut Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, Datuk Seri Hishammuddin Tun Husesin, bagi perayaan Maasi Magam yang akan bermula pada 16 hingga 19 Februari 2022 hanya mereka yang telah lengkap vaksinasi dibenarkan mengikuti aktiviti keagamaan.
Beliau berkata, mereka juga wajib mematuhi amalan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan memakai pelitup muka.
“Petugas dari pihak pengurusan kuil mestilah memakai vest atau pakaian yang boleh membezakan mereka sebagai petugas.
“Petugas dari pihak pengurusan kuil bertanggungjawab untuk memastikan kepatuhan penganut-penganut terhadap SOP yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, upacara sembahyang di kuil dibenarkan mengikut SOP pembukaan rumah ibadat selain Islam dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.
Pada masa sama, katanya, perjalanan dan pergerakan kereta chariot dibenarkan dengan syarat tidak melebihi 50 orang pengiring yang terdiri daripada pihak pengurusan kuil sahaja, tidak dibenarkan berhenti dan perlu mendapat kelulusan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, katanya, perayaan Chinggay yang akan disambut oleh lima clans iaitu Hainan, Hakka, Hokkien, Teochew dan Tiong Hua pada 19 hingga 22 Februari ini juga dibenarkan diadakan.
Beliau berkata, penganut agama tersebut dibenarkan melakukan upacara sembahyang di Johor Ancient Temple dan Xing Gong mengikut SOP pembukaan rumah ibadat selain Islam dalam tempoh PPN Fasa 4.
“Pada 19 Februari dibenarkan Upacara Penyucian Jalan dengan tidak lebih 100 orang ahli Pengurusan Tokong sahaja. Senarai nama pengiring serta pelan perjalanan dan pergerakan Chingay perlu mendapat kelulusan pihak PDRM.
“Pada 20 Februari pula dibenarkan Upacara Pengusungan Dewa Keluar dari Johor Ancient Temple Ke Xing Gong dengan tidak lebih 200 orang ahli Pengurusan Tokong sahaja.
“Pada 21 Februari dibenarkan Upacara Perarakan Malam Pesta Chingay melibatkan pergerakan 11 buah trak berhias dengan tidak lebih 20 orang ahli
Pengurusan Tokong bagi setiap trak berhias,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, penganut tidak dibenarkan mengiringi perarakan.