Perlawanan TFC II menentang Penang FC terhenti akibat pergaduhan

0
76
Tangkap layar menunjukkan seorang pemain Penang FC (jersi kuning) sedang ditarik oleh seorang pemain TFC II.

KUALA TERENGGANU – Perlawanan terakhir dalam saingan merebut Piala Menteri Besar Terengganu di antara Terengganu FC II (TFC II) dan Penang FC terpaksa dihentikan akibat insiden pergaduhan di antara kedua pasukan.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu tadi, pengadil Mohd. Amirul Aizat Mat Lodin terpaksa memberhentikan perlawanan pada minit ke-45 setelah berlaku aksi pergaduhan antara pemain kedua-dua pasukan.

Aksi panas itu bermula selepas sepakan penalti skuad Harimau Kumbang yang diambil kapten pasukan, Endrik Dos Santos gagal disempurnakan pemain kelahiran Brazil itu.

Bagaimanapun, berlaku ketidakpuasan hati dalam kalangan pemain Penang FC ketika pemain tuan rumah meraikan kejayaan penjaga gol, Mohd Shafawi Mohamad yang tangkas mempertahan gawangnya daripada dibolosi.

Pergaduhan yang tercetus kemudian memaksa anggota keselamatan dan pegawai perlawanan masuk ke dalam padang.

Rentetan itu, seorang pemain TFC II, Ridzuan Razali dan pemain pelawat, Muhammad Adib Abdul Ra’op mengalami kecederaan.

Selepas pergaduhan itu, perlawanan yang terhenti kira-kira 45 minit ketika TFC II mendahului 1-0 hasil jaringan Ahmad Nur Rahman Ab Rasid pada minit ke-30 tidak disambung semula pengadil

Berikutan itu pasukan ‘adik’ TFC II dinobatkan sebagai juara Piala Menteri Besar Terengganu edisi kedua selepas menamatkan saingan di kedudukan teratas dengan mengutip enam mata hasil tiga perlawanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here