PKR kesal MUDA langgar kerusi Larkin, bagi tempoh hingga esok untuk tarik diri

0
42
Syed Ibrahim Syed Noh

CYBERJAYA – PKR kecewa dan berasa kesal dengan tindakan parti MUDA di bawah pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang tetap mengumumkan calon bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin sehingga menyebabkan berlakunya pertembungan antara kedua-dua parti pembangkang berkenaan.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, tindakan parti itu secara jelas tidak menghormati semangat kebersamaan pembangkang dalam membela masa depan rakyat dan negeri Johor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Saya sedar mungkin tindakan ini diambil kerana kerusi yang dituntut oleh MUDA dalam rundingan tidak dipersetujui oleh PKR.

“Namun wajar saya tegaskan dan ingatkan bahawa tindakannya itu bercanggah dengan pendekatan membawa suara rakyat dan lawan musuh bersama, malah lebih buruk lagi, ia seolah-olah memberi kemenangan kepada lawan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, PKR juga tidak akan mengambil langkah serupa untuk melanggar kerusi MUDA pula kerana menghormati rakan-rakan Amanah dan DAP dalam Pakatan Harapan (PH).

“Itu tindakan kurang bijaksana malah akan dicemuh oleh pengundi dan rakyat yang sudah pun muak dengan politik perebutan kuasa. PKR akan terus bertanding di kerusinya untuk memenangi hati pengundi.

“PKR hanya akan tumpu kepada membantu calonnya dan calon Amanah serta DAP dalam PRN ini, sekiranya MUDA tetap meletakkan calonnya di kerusi ditandingi PKR,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, MUDA diberi masa sehingga sebelum penamaan calon pada 26 Februari untuk menarik diri di kerusi berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here