PM arah pasukan penyelamat, NADMA segera bantu mangsa banjir di Pantai Timur

0
22
Pasukan ATM turut bersama membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu

CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua pasukan menyelamat termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah dikerahkan bagi kerja-kerja memindahkan mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.

Perdana Menteri berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) juga sedang melakukan kerja-kerja menyelamat di kawasan terjejas bagi memastikan proses evakuasi mangsa berjalan lancar

“Sejak semalam, NADMA serta agensi menyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, PDRM, ATM dan Angkatan Pertahanan Awam telah dikerahkan bagi kerja-kerja memindahkan mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.

NADMA diarahkan memastikan kit makanan mencukupi di pusat pemindahan sementara (PPS)

“JBPM sedang melakukan kerja-kerja menyelamat di kawasan terjejas bagi memastikan proses evakuasi mangsa berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, Angkatan Tentera Malaysia melalui Briged Kelapan Infantri Malaysia juga telah diaturgerak membantu mangsa di kedua-dua negeri.

Beliau berkata, ramai yang terjejas sedang diselamatkan dan dibawa ke tempat yang lebih selamat.

“Saya juga telah mengarahkan NADMA untuk memastikan kit makanan mencukupi di pusat pemindahan sementara (PPS) selain Kementerian Kesihatan turut membantu dalam memastikan pencegahan penularan Covid-19 dilaksanakan di pusat pemindahan.

Pasukan penyelamat membantu memindahkan mangsa

“Kepada mangsa banjir, ikuti langkah-langkah keselamatan dan berpindah ke PPS atau tempat yang selamat untuk keselamatan diri dan keluarga.

“Sama-sama kita doakan agar keadaan banjir segera pulih dan mangsa dapat pulang ke kediaman masing-masing,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here