
CYBERJAYA – Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) yang dilancarkan hari ini merupakan tanda keprihatinan kerajaan terhadap keperluan akses kepada pembiayaan dengan kadar faedah yang rendah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif ini dilaksanakan bagi menyediakan kemudahan pembiayaan dan bantuan bayaran balik pinjaman terutamanya dalam fasa pemulihan pasca pandemik ini.
“Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion akan memperbanyakkan akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutamanya untuk pengusaha PMKS dan sektor informal.
“Program ini merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti untuk dimanfaatkan oleh setiap golongan usahawan,” katanya dalam ucapannya ketika melancarkan inisiatif berkenaan di Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz dan dua timbalannya, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Yamani Hafez Musa.
Pada pembentangan Belanjawan 2022 tahun lalu, Tengku Zafrul memaklumkan sejumlah keseluruhan RM40 bilion disediakan kerajaan menerusi pakej pembiayaan di bawah Program Semarak Niaga Keluarga.
Di bawah inisiatif itu, antaranya, pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM2.2 bilion disediakan melalui pelbagai agensi seperti TEKUN, Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat dan Bank Negara Malaysia.