Populasi bumiputera di Malaysia kini 69.4 peratus

0
208
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,

SHAH ALAM – Jumlah penduduk bumiputera di negara ini mencatatkan peratusan tertinggi dengan 69.4 peratus daripada keseluruhan 32.4 juta orang.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, peratusan itu diperoleh daripada Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan
2020.

Beliau berkata, laporan itu juga menunjukkan peratus etnik Cina dan India masing-masing merangkumi 23.2 peratus dan 6.7 peratus populasi manakala bakinya lain-lain etnik.

“Penduduk Malaysia berjumlah 32.4 juta dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) penduduk adalah 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun.

“Dari segi Tempat Kediaman pula, sebanyak 9.6 juta telah dibanci. Terdapat 8.2 juta Isi Rumah (IR) dengan Purata Saiz IR persendirian adalah sebanyak 3.8.

“Penduduk mengikut kewarganegaraan menunjukkan 91.7 peratus (29.8 juta) adalah warganegara, manakala 8.3 peratus (2.7 juta) adalah bukan warganegara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, daripada 32.4 juta penduduk yang telah dibanci, 52.3 peratus ialah lelaki manakala 47.7 peratus ialah perempuan dengan isbah jantina adalah 110 lelaki berbanding 100 wanita.

Beliau berkata, penemuan banci juga menunjukkan negeri yang mempunyai bilangan wanita melebihi lelaki adalah Putrajaya, di mana 100 orang wanita bersamaan 96 orang lelaki.

“Dari segi kumpulan umur, dapatan daripada 32.4 juta penduduk Malaysia menunjukkan 6.8 peratus adalah berumur 65 tahun dan ke atas, 69.3 peratus ialah umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan bakinya 24.0 peratus dalam kalangan umur muda (0 hingga 14 tahun).

“Warga emas iaitu penduduk yang berumur 60 tahun ke atas telah direkodkan sebanyak 10.5 peratus (3.4 juta). berbanding pada tahun 2010 ialah 8.0 peratus (2.2 juta). Umur muda telah menunjukkan penurunan daripada 27.6 peratus pada 2010 kepada 24.0 peratus pada 2020,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, penemuan banci baharu itu akan dijadikan tanda aras baharu untuk kerajaan menggariskan polisi dan dasar yang berkaitan dalam pembangunan kesejahteraan rakyat, di samping dapat memberikan input yang menyeluruh dalam pelaksanaan dasar sedia ada seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here