
BAGAN DATUK – Barisan Nasional (BN) tidak akan menggunakan sepenuhnya acuan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk formula pemilihan calon bagi menghadapi PRN Johor.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, lanskap politik yang berbeza di negeri itu menyebabkan BN mengubah pendekatannya.
“Di Melaka (calon) muka baharu adalah 87 peratus dan berkelulusan tinggi lebih daripada 84 peratus manakala yang berumur 50 tahun ke bawah lebih 82 peratus tetapi acuan ini tidak akan digunakan di Johor kerana landskap politiknya berbeza,” kata Ahmad Zahid.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemegang amanah dan waris lot tanah Hutan Melintang di Kompleks UMNO Bagan Datuk di Sungai Sumun, hari ini.
Jelasnya, BN yang akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menampilkan calon boleh menang, disukai dan diterima pengundi di kawasan ditandingi pada PRN Johor.
“Bagi calon daripada UMNO, saya telah meminta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor (Datuk Hasni Mohammad) berunding dengan kesemua Ketua UMNO Bahagian untuk menentukan sebarang calon,” kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO.
Mengenai agihan kerusi dalam kalangan parti komponen BN, Ahmad Zahid berkata UMNO, MCA dan MIC mempunyai panduan mengenai perkara itu namun kerusi yang dahulunya ditandingi parti Gerakan (pada Pilihan Raya Umum ke-14) akan diambil alih semula sesama komponen BN.