
KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengesahkan mengadakan perbincangan awal dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, bagaimanapun pengumuman lanjut akan dibuat selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas berhubung perjalanan PRN Johor, esok.
“Seperti mana yang kita sebut sebelum ini, masih dalam perbincangan (kerjasama dengan parti lain) tapi sekarang masih bertanding secara solo. Calon kita akan bertanding atas tiket Pejuang.
“Pada masa sama, perbincangan dimulakan dengan MUDA. Dengan Syed Saddiq memang ada perbincangan tapi belum bincang mengenai bentuk kerjasama politik atau yang lain berkaitan PRN. Kalu jadi, kita akan buat pengumuman lanjut,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, Mukhriz berkata, pihaknya juga tidak berminat menyertai khemah besar seperti yang dicadangkan oleh Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN Johor.
“Tiada perbincangan mendalam dengan parti lain, walaupun Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menawarkan kami untuk menyertai mereka.
“Tetapi pada waktu ini kami tidak berhasrat membenarkan calon kami bertanding dibawah lambang PH atau khemah mereka,” katanya semasa sidang media di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Mukhriz turut memaklumkan terdapat laporan ada pihak daripada Perikatan Nasional (PN) menyalahgunakan nama Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Jelasnya, pihak tersebut menggunakan nama bekas Perdana Menteri itu sebagai Pengerusi PN sewaktu memperkenalkan parti itu kepada masyarakat Johor.
“Jadi saya nak jelaskan Tun Mahathir adalah pengerusi Pejuang dan tidak langsung terlibat dengan PN, tidak juga dengan Pakatan Harapan (PH) dan jauh sekali dengan Barisan Nasional (BN),” ujarnya.