
CYBERJAYA – PKR hanya menawarkan tiga kerusi kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, keputusan itu diambil selepas beberapa siri pertemuan diadakan antara kedua-dua parti tersebut sebelum ini.
“Berhubung isu agihan kerusi, PKR telah mengadakan tiga siri rundingan bersama dengan MUDA selari menepati hasrat yang dinyatakan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan PH Johor.
“Dalam siri rundingan tersebut, masing-masing telah memberi pandangan secara jujur dan terbuka.
“Hasil dari rundingan ini, PKR telah menawarkan tiga kerusi kepada MUDA dan sedang menunggu maklumbalas berhubung tawaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Syed Saddiq dalam satu kenyataan media bersama Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan akan bertanding enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac hadapan.
Enam kerusi DUN itu ialah Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.
Bagaimanapun, persetujuan itu hanya melibatkan tiga parti itu tanpa melibatkan PKR.