
CYBERJAYA – Pergerakan Wanita UMNO bersedia 100 peratus untuk ‘bertempur’ dalam media sosial bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menang selesa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac hadapan.
Menurut Ketua Penerangannya, Datuk Norshida Ibrahim, sehubungan itu pihaknya akan memastikan penyelarasan dan koordinasi dilaksanakan disetiap peringkat dengan cukup rapi dan teliti.
Beliau berkata, ini bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku demi memastikan kemenangan selesa kepada BN.
“Tiada kompromi di dalam segala gerakan jentera dan perlu berhati-hati serta berwaspada mengawal gerak-geri jentera parti lawan yang sentiasa menabur fitnah kepada BN bagi mengaburi mata rakyat.
“Sudah pasti Wanita akan memastikan segala informasi dan penerangan akan sampai ke seluruh pengundi pelbagai peringat umur sehingga ke hari akhir membuang undi pda 12 Mac ini,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, jentera Wanita juga telah diperkemaskan dengan sokongan jentera Wanita dari negeri-negeri lain yang datang untuk membantu kempen pilihan raya.
Pada masa sama, katanya, pihaknya juga sangat menitik beratkan soal pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan kempen yang dijalankan oleh BN berjalan lancar.
“Jentera Wanita juga diingatkan agar memahami segala isu-isu semasa setempat dan sentiasa menjaga sentiviti pengundi-pengundi sewaktu menziarah kerana setiap pengundi adalah bernilai bagi BN demi memastikan kemenangan mutlak BN di PRN Johor kali ini.
“Gunakanlah peluang bagi berceramah di bilik gerakan untuk menyampaikan informasi kepada rakyat dan pastikanlah bahawa penyertaan pengundi adalah dihadkan demi menjaga keselamatan semua,” katanya.