
JOHOR BAHRU – Dua petuga media yang membuat liputan di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin di sini, hari ini dikompaun dan diberi amaran terakhir daripada Kementerian Kesihatan (KKM) selepas didakwa melanggar melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Wartawan Sin Chew Daily Johor, Wong Kian Yong, 42, dikompaun RM1,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 berikutan gagal memastikan penjarakan fizikal.
Menurutnya, perkara itu di luar kawalan berikutan dia hanya menjalankan tugas seperti biasa ketika mahu mendapatkan maklumat daripada calon Bebas, Norramadan Buan.
“Saya agak kecewa sebab kalau ikutkan bukan saya seorang sahaja di situ, ramai lagi tetapi hanya saya seorang yang kena kompaun.
“Kalau boleh saya mahu merayu kurangkan lagi jumlah kompaun,” katanya ketika memetik laporan Harian Metro hari ini.
Sementara itu, wartawan Malaysia Gazatte Khairulanuar Yahaya, 47, berkata, dia dikenakan amaran terakhir secara lisan atas dakwaan sama.
“Ia di luar jangkaan. Kita terkejar-kejar buat liputan kadang-kadang memang tak sedar tentang SOP sebab hendak cepat mendapatkan maklumat.
“Saya terima teguran ini dan menganggap mereka menjalankan tugas (petugas Pejabat Kesihatan Johor Bahru) dan akan lebih berhati-hati lagi selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, calon PKR DUN Larkin, Dr Zamil Najwah melahirkan rasa terkejut dengan tindakan KKM itu.
“Saya terkejut dengan kompaun RM1,000 yang dikenakan kepada salah seorang petugas media ketika sesi penamaan calon sebentar tadi.
“Tatkala rakan-rakan media yang lain turut berkomunikasi dengan calon-calon tanpa sebarang aktiviti berkumpul, seorang petugas media berbahasa Cina ini terus dikenakan kompaun.
“Pada pandangan saya, ini merupakan sebahagian daripada intimidasi yang dikenakan ke atas petugas media yang berperanan memaksimumkan akses maklumat dan liputan kepada rakyat terhadap PRN kali ini.
“Saya berharap agar rakan-rakan media kita dapat terus diberikan ruang untuk melakukan liputan kepada orang awam tentang PRN Johor kali ini dengan mengikut ketetapan SOP yang munasabah dan berkadaran,” katanya.
Terdahulu enam calon yang mewakili lima parti dan seorang dari Bebas hadir di PPC DUN Larkin untuk menghantar borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.