Projek NCER-KCR di Kedah bakal tawar 15,000 kerja kosong, pembangunan berskala besar

0
73
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat gerai pameran sempena perasmian Projek Strategik Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER)-Kedah Rubber City (KRC) di sini hari ini.

PADANG TERAP – Pelaksanaan Projek Strategik Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER)-Kedah Rubber City (KRC) yang dibangunkan di sini bakal menyaksikan pelbagai projek pembangunan berskala besar tertumpu di daerah ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lebih memberikan daerah itu kelebihan ialah berikutan lokasinya yang strategik di kawasan “Rubber Belt” sempadan Malaysia-Thailand.

Beliau berkata, menerusi projek itu ia juga akan memupuk kerjasama dan integrasi serantau yang lebih erat antara kedua-dua negara, serta dijangka menjadi penggerak dalam menghubungkan pengeluarpengeluar getah utama di rantau ini di bawah platform Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT).

“Jika sebelum ini, pembangunan berskala besar kebanyakannya hanya tertumpu di kawasan bandar.

“Hari ini, Keluarga Malaysia di kawasan luar bandar termasuk di Padang Terap juga mampu menikmati limpahan kemakmuran yang dicipta hasil daripada projek-projek strategik nasional seperti KRC ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian NCER-KCR di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, KRC juga akan menjadi pusat inovasi produk getah yang boleh membantu aktiviti hiliran dan huluan untuk sektor itu.

Ismail Sabri berkata, KCR yang akan dibangunkan sebagai sebuah taman perindustrian mesra alam bertaraf dunia turut menawarkan infrastruktur
dan jaringan kesalinghubungan yang baik, serta kumpulan bakat dan ekosistem yang mesra pelabur.

Selain itu, katanya, projek itu bakal menarik pelaburan berpotensi bernilai RM10 bilion dan mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2025.

“Projek ini bakal memberi pelbagai limpahan manfaat kepada masyarakat setempat. Walaupun baharu sahaja dilancarkan, KRC sehingga kini telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4 bilion yang bakal menjana hampir 7,000 peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia.

“Sebagai contoh, kerjasama strategik di antara Mitsui & Co (Malaysia) Sdn Bhd dengan Hong Seng Consolidated Berhad (Hong Seng) melibatkan pelaburan bernilai kira-kira RM3 billion untuk KRC.

“Kerjasama ini juga akan mengukuhkan rantaian bekalan bahan mentah dalam pembuatan polimer NBL dengan kepakaran Mitsui dalam industri ini. Pelaburan ini bukan sahaja bakal mewujudkan 1,600 peluang pekerjaan baharu tetapi juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap import polimer NBL kerana Hong Seng akan memindahkan teknologi canggih baharu yang diperolehi kepada negara,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, pelancaran projek KRC itu juga tepat pada masanya ketika negara sedang dalam menjalani proses pemulihan dan pertumbuhan ekonomi setelah terkesan oleh impak
pandemik Covid-19.

Beliau berkata, NCER kini sedang berdepan dengan prospek pertumbuhan yang cerah, yang mana ia diunjurkan akan mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Wilayah sebanyak 6.5-6.9 peratus dalam Tempoh Pemulihan 2021-2022.

Selain itu, katanya, sentimen pelabur juga sangat positif ketika ini dan pengutamaan projek dan program pemangkin serta insentif oleh Kerajaan Persekutuan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan terus merangsang pertumbuhan dan pemulihan ekonomi.

“Malah, NCER telah menyumbang majoriti pelaburan sektor pembuatan yang diluluskan di Malaysia sehingga Suku Tahun Ketiga 2021, iaitu 61.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan di Malaysia.

“Kemasukan pelaburan swasta di NCER saling berkait rapat dengan pelaksanaan program-program Modal Insan berteraskan Keluarga Malaysia oleh NCIA, yang telah memberi manfaat kepada 67,935 orang dari 30 daerah di NCER sejak 2019 sehingga 2021.

“Program-program tersebut juga adalah selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ke arah membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025. Ia juga melalui suntikan bantuan sara hidup yang diintegrasikan dengan pendidikan, latihan kemahiran untuk rakyat tempatan, serta penyediaan peluang pekerjaan bagi golongan sasaran,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here