Protes bantah larangan pakai hijab merebak

0
55

KARNATAKA, India – Pihak kerajaan negeri Karnataka mengarahkan semua sekolah tinggi dan kolej ditutup berikutan protes mengenai larangan ke atas pelajar Islam bertudung di dalam kelas semakin merebak.

Arahan tersebut berkuat kuasa serta merta berikutan bantahan kumpulan pelajar berhubung isu tersebut semakin meningkat dan menjadi ganas.

Semalam, seorang hakim di mahkamah tinggi negeri merujuk petisyen yang mencabar larangan itu kepada panel yang lebih besar.

Kata portal BBC, protes kini telah merebak ke seluruh negara.

Beratus-ratus orang berdemonstrasi menentang larangan di Kolkata dan Chennai, dua bandar terbesar di India dan di Hyderabad.

Keputusan untuk menutup sekolah dan kolej di negeri selatan India itu dibuat selepas bantahan oleh enam pelajar remaja di kolej kendalian kerajaan berhubung pemakaian tudung hingga merebak ke kolej lain.

Isu itu mula mendapat perhatian apabila pelajar di kolej prauniversiti – setaraf dengan sekolah menengah – di daerah Udupi di Karnataka mula membantah larangan peljar berhijab.

Udupi ialah salah satu daripada tiga daerah di wilayah pesisir pantai Karnataka yang sensitif terhadap kaum.

Wilayah ini adalah kubu kuat Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.

Kolej itu berkata, pihaknya membenarkan pelajar memakai tudung di kampus dan hanya meminta mereka menanggalkannya di dalam bilik darjah.

Tetapi penunjuk perasaan berhujah bahawa mereka juga harus dibenarkan menutup rambut mereka di dalam kelas.

Pelajar itu menafikan dakwaan bahawa mereka bertindak atas arahan Barisan Kampus India – sayap pelajar kumpulan Islam radikal, Barisan Popular India – yang membela mereka.

Ia bukan sesuatu yang luar biasa untuk melihat wanita memakai tudung dan burka di India.

Tetapi pengetua kolej berkata, guru-guru perlu melihat wajah pelajar dan memakai pakaian seragam dapat membantu mereka memastikan tiada diskriminasi dalam kalangan pelajar.

Isu wanita Islam memakai tudung telah timbul di beberapa kolej lain di Karnataka sebelum ini, tetapi mula mendapat momentum apabila gambar penunjuk perasaan wanita di Udupi menjadi tular.

Pelajar Hindu di beberapa kolej lain mula datang ke kelas dengan memakai selendang berwarna jingga, memaksa pegawai bertegas dengan tidak membenarkan kedua-duanya masuk ke kampus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here