Rugi RM710,000 diperdaya sindiket penipuan pembelian kit ujian Covid-19

0
15
Kit ujian kendiri Covid-19
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Dua ahli perniagaan kerugian RM710,000 setelah terpedaya dalam urusan pembelian kit ujian pengesanan Covid-19 yang tidak wujud.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, penularan wabak Covid-19 membuatkan wujudnya permintaan yang tinggi untuk mendapatkan kit ujian dan fenomena tersebut telah mencetuskan modus operandi penipuan pembelian.

Tambahnya, sebanyak dua laporan polis diterima membabitkan kes tersebut di Selangor.

“Berdasarkan siasatan, kedua-dua mangsa yang juga ahli perniagaan telah mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat yang mendakwa boleh membantu dalam pembelian kit ujian pengesanan Covid-19 dari syarikat pengeluar di China.

“Setelah pembayaran dilunaskan, kit ujian yang dibeli tidak diterima sementara mangsa terus membuat semakan dengan syarikat pengeluar di China dan mendapati tiada sebarang pesanan diterima oleh pihak pengeluar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd. Kamarudin menasihatkan orang ramai khususnya golongan peniaga supaya sentiasa berwaspada dan melakukan semakan yang sewajarnya sebelum membuat transaksi pembayaran melibatkan amaun yang besar.

Tambahnya, orang ramai diingatkan jangan terlalu ghairah dengan tawaran harga yang murah kerana dikhuatiri ia sekadar taktik untuk memperdaya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here