Rusia iktiraf wilayah Lugansk dan Donetsk sebagai negara merdeka

0
60
Anggota tentera Rusia.

MOSCOW – Presiden Rusia Vladimir Putin menandatangani dua dekri yang mengiktiraf Republik Rakyat Lugansk (LPR) dan Republik Rakyat Donetsk (DPR) sebagai negara merdeka dan berdaulat semalam.

Menurut agensi Xinhua, Putin turut menandatangani Perjanjian Persahabatan, Kerjasama dan Bantuan antara Rusia bersama kedua-dua ketua republik berkenaan dalam satu majlis di Kremlin.

“Saya menganggap perlu membuat keputusan yang sudah lama tertunda – mengiktiraf kemerdekaan dan kedaulatan DPR dan LPR dengan segera.

“Rusia telah melakukan segala-galanya dalam memelihara integriti wilayah Ukraine dengan memperjuangkan pelaksanaan perjanjian Minsk 2015, tetapi segala usaha itu berakhir dengan sia-sia,” kata Putin dalam ucapannya yang disiarkan menerusi televisyen.

Menurut Putin, hampir setiap hari Ukraine menyerang penempatan di Donbass dan perkara itu ‘tiada penghujungnya’.

Krisis keselamatan Eropah berlaku akibat peluasan keanggotaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke arah timur, menyebabkan Rusia hilang kepercayaan, tegas Putin.

Beliau menyifatkan hanya “menunggu masa” untuk NATO menerima Ukraine sebagai negara anggota dan membina kemudahan di wilayahnya supaya tahap ancaman ketenteraan terhadap Rusia meningkat secara mendadak.

Ketika Moscow meminta jaminan keselamatan Amerika Syarikat dan NATO, negara-negara Barat bertindak mengabaikan kebimbangan utama Rusia dan tiada yang berubah dalam kedudukan mereka, kata Putin.

Berdasarkan keadaan itu, Rusia ‘mempunyai hak bertindak balas untuk memastikan keselamatannya sendiri”.

Putin berkata, beliau menyedari Barat cuba ‘mengugut’ Rusia dengan mengadakan sekatan sekali lagi, tetapi percaya sekatan tetap akan diteruskan hanya kerana kewujudan Rusia wujud, tanpa mengira keadaan di Ukraine.

Selepas mengiktiraf kemerdekaan LPR dan DPR, Putin mengarahkan tentera Rusia memastikan keamanan di kedua-dua ‘negara’ itu.

Terdahulu, Majlis Keselamatan Rusia mengadakan mesyuarat luar biasa dan pengiktirafan kedua-dua republik berkenaan mendapat sokongan pegawai tertinggi negara itu.

Pada petang Isnin, Putin mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Canselor Jerman Olaf Scholz, yang ‘menyatakan kekecewaan mereka’ berikutan rancangan Putin mengiktiraf LPR dan DPR, tetapi masih menunjukkan kesediaan meneruskan hubungan, menurut kenyataan Kremlin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here