Saya tidak rasa Pagoh ini kubu kuat mereka – Najib

0
35
Calon BN Ismail Mohamad (dua dari kanan) yang akan bertemu dengan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

PAGOH – Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan dipilih rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas tidak lagi memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, sepanjang kunjungan di Parlimen Pagoh, beliau dapat merasakan bahawa sentimen yang mengatakan daerah itu sebagai kubu kuat Perikatan Nasional adalah tidak benar.

“Saya merasakan bila sudah berada di Pagoh sejak semalam, mood semasa mengatakan ini bukanlah kubu dan milik parti sana tapi milik BN.

“Mungkin saya salah, tapi saya tak fikir salah. Satu sebabnya saya tengok dan dapat laporan bahawa ramai rakyat sekarang sudah sedar,” katanya pada Majlis Memperkenalkan Calon N.07 Bukit Kepong (Ismail Mohamad) dan N.08 Bukit Pasir ( Mohamad Fazli Mohamad Salleh) di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh hari ini.

Menurut Najib, berdasarkan maklumat yang diterima, rakyat kini sudah dapat membezakan yang mana lebih baik antara kepimpinan parti-parti terdahulu berbanding BN.

Bahkan katanya, ramai yang mengaku sudah serik dengan janji-janji Pakatan Harapan (PH) dan PN yang gagal mentadbir negara dengan baik.

“Pertamanya rakyat dah serik kena tipu dan tak ingin kena tipu dua kali. Bau ‘hancing’ pun masih lagi kita bau.

“Kedua mereka dah mengalami pengalaman BN yang boleh jaga kebajikan rakyat dengan lebih baik sebelum ini,” ujar beliau.

Beliau berkata, walaupun Pagoh sebelum ini memiliki seorang pemimpin bertaraf Perdana Menteri, tetapi rakyat mampu mengukur kepimpinannya mentadbir negara.

“Contohnya saya tanya orang kampung bila BN berkuasa BRIM dapat berapa? Mereka jawab RM2,000 tapi bila PH menang BRIM dapat RM30.

“Ramai yang tidak dapat terima kepimpinan ‘Abah’ kerana dia isytiharkan MCO atau PKP yang paling lama, berbulan-bulan.

“Saya syorkan tak payah buat MCO lama-lama, buat yang ketat dalam 2 hingga 3 minggu sudah cukup,” katanya.

Katanya, akibat pelaksanaan MCO yang separuh masak itu, rakyat terpaksa hidup dalam kesusahan sedangkan sektor iindustri dan kilang tidak dikenakan sekatan.

“Kita ingat betapa susahnya kita masa itu. Bekas Perdana Menteri ketika itu pula takut untuk ke Parlimen,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here