Sebanyak 600,000 kerja kosong ditawarkan menerusi Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia – PM

0
48
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sesuatu kepada seorang pencari kerja dalam program Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia yang dilancarkan hari ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan program Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia yang bakal menyediakan lebih 600,000 peluang pekerjaan bagi tahun ini.

Perdana Menteri berkata, program yang bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion.

“Kerajaan turut komited membantu komuniti usahawan yang menggaji dan mencipta peluang pekerjaan, supaya dapat terus berkembang dan membina semula perniagaan melalui inisiatif Semarak Niaga bernilai RM40 bilion.

“Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia merangkumi tiga program utama iaitu insentif penggajian yang akan dilaksanakan oleh PERKESO dengan sasaran sebanyak 300,000 peluang pekerjaan; inisiatif latihan dan penempatan jangka pendek (MySTEP) yang menawarkan 80,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam, syarikat milik kerajaan (GLC) dan rakan-rakan strategik serta JaminKerja.

“Selain itu, program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia) yang dilaksanakan HRD Corp dengan menyediakan latihan kemahiran untuk pencari kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dan menjamin penempatan pekerjaan dengan sasaran 220,000 orang pelatih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, program itu juga akan memberi tumpuan kepada usaha merangsang para majikan untuk membuat pengambilan pekerja, terutamanya dalam kalangan individu yang tidak aktif bekerja seperti golongan penganggur, golongan rentan seperti OKU, bekas banduan, warga emas dan golongan wanita menganggur bagi tempoh berpanjangan, untuk memastikan tiada golongan dipinggirkan.

Beliau berkata, setelah majikan diberikan insentif bagi pengambilan pekerja, pencari kerja boleh menggunakan Portal MYFutureJobs untuk mendapatkan padanan pekerjaan dan mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.

“Insentif turut diberikan kepada majikan yang mengambil tenaga kerja tempatan bagi mengisikan jawatan yang kebiasaannya dilakukan oleh pekerja asing ataupun pegawai dagang.

“Majikan yang layak akan menerima bantuan kewangan kerajaan antara 20 hingga 40 peratus daripada gaji kasar maksimum pekerja iaitu sebanyak RM10,000 bagi tempoh 12 bulan.

“Program MYSTEP pula menyasarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak yang merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan selebihnya dalam GLC untuk tahun 2022. Dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.7 bilion, program MySTEP akan diterajui oleh LAKSANA di bawah Kementerian Kewangan yang akan melaksanakan kolaborasi strategik bersama agensi-agensi kerajaan lain,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here