Selepas lebih 10 tahun, sebab sebenar Upin dan Ipin jadi anak yatim didedahkan

0
256
BURHANUDDIN

CYBERJAYA – Watak animasi popular, Upin & Ipin tidak ‘dicipta’ untuk menjadi anak yatim, tetapi kekangan masa mengejar ‘deadline’ menyebabkan watak ibu dan bapa pasangan kembar itu tidak sempat disiapkan.

Itu merupakan antara butiran trivia yng dikongsikan oleh pengasas Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md. Radzi ketika muncul pada majlis CJ Breakfast di Malakat Mall di sini, pagi tadi.

Jelas Burhanuddin yang turut memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan, semuanya bermula ketika mereka sedang menyiapkan episod Upin & Ipin untuk sebuah stesen televisyen tempatan.

“Ketika itu, rancangan animasi kita yang berkisar mengenai suasana Ramadan sudahpun disiarkan di stesen tersebut, dan kita dalam proses untuk menyiapkan episod berkenaan Raya Puasa.

“Namun, disebabkan kesuntukan masa, watak ibu bapa Upin & Ipin tidak dapat disiapkan,” kata Burhanuddin.

Dan sebagai gantinya, isteri Burhanuddin, Ainon Ariff selaku Pengarah Kanan Kandungan, mencadangkan supaya episod tersebut dimulakan dengan Upin & Ipin menziarahi pusara ibu bapa mereka.

“Upin & Ipin sebenarnya tidak dicipta untuk menjadi anak yatim, tetapi situasi (pada waktu itu) menyebabkan watak ibu bapa tidak dapat disiapkan,” jelas Burhanuddin.

Beliau turut berkongsikan pengalaman bagaimana beliau, seorang lulusan Kejuruteraan dalam bidang Petroleum dan Gas Asli dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) boleh terjerumus dalam bidang produksi animasi.

“Memang menjadi cita-cita saya untuk mewujudkan rancangan animasi kanak-kanak yang sarat dengan elemen pendidikan, namun dengan penyampaian yang bersahaja,” katanya lagi.

Buat masa ini, Les’ Copaque Production telah berkembang kepada sebuah entiti yang mempunyai pelbagai anak syarikat dengan keuntungan kasar tahunan kira-kira RM40 juta setahun.

CJ Breakfast yang dianjurkan oleh iiiVenture merupakan sebuah program santai yang mengumpulkan tokoh dalam bidang teknologi dan usahawan untuk bertukar-tukar pendapat mengenai pengalaman mereka masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here