
CYBERJAYA – Semua pembayar cukai dinasihatkan membuat semakan status sekatan perjalanan terlebih dahulu sebelum merancang untuk ke luar negara bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan sekatan.
Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), sekatan perjalanan ke luar negara adalah tindakan yang dikenakan oleh LHDN kepada individu dan pengarah syarikat yang tidak menjelaskan cukai pendapatan, cukai keuntungan harta Tanah (CKHT) dan cukai syarikat.
“Pemakluman tindakan tersebut akan dibuat ke alamat terakhir yang dikemaskini oleh pembayar cukai kepada LHDN melalui data percukaian terkini yang direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, menurut LHDN, pembayar cukai boleh menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan melalui portal MyTax di pautan https://mytax.hasil.gov.my/.
Pada masa sama katanya, semakan sekatan perjalanan juga boleh dibuat di laman web Jabatan Imigresen Malaysia di https://sspi.imi.gov.my/sspi/.
“Sekiranya pembayar cukai mempunyai tunggakan cukai dan dilarang ke luar negara, mereka dinasihatkan untuk menghubungi pejabat cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai mereka bagi tindakan sewajarnya.
“Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami
melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara); HASiL Live Chat; dan Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/,” katanya.