
BANGKOK – Malaysia dan Thailand bersetuju untuk membenarkan semula aktiviti rentas sempadan di antara kedua-dua negara dalam waktu terdekat ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai permulaan, pihaknya akan
melaksanakan perjalanan lengkap vaksin (VTL) melalui udara di antara Kuala Lumpur dan Bangkok bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi.
“Saya dan Perdana Menteri Prayut telah
berbincang mengenai keperluan untuk membenarkan semula aktiviti rentas sempadan di antara kedua-dua negara.
“Dalam hal ini, kami telah bersetuju agar perbincangan di peringkat agensi dapat digiatkan bagi membuka semula sempadan dalam masa terdekat melalui skim VTL bagi Malaysia atau Test & Go bagi Thailand,” katanya dalam sidang media sempena lawatan rasmi ke Thailand hari ini.
Dalam pada itu, katanya, Malaysia dan Thailand juga akan mempertimbangkan untuk menambah destinasi yang lain di masa akan datang.
Pada masa sama, katanya, Skim VTL juga akan diperkembangkan untuk pembukaan sembilan sempadan darat melalui Bukit Kayu Hitam-Sadao serta termasuk semua CIQ di utara semenanjung dan Selatan Thailand dan VTL-Laut di antara Langkawi-Satun.
“Ini sudah tentu akan dapat membantu untuk memulihkan semula jaringan ekonomi dan perniagaan di antara kedua-dua pihak terutamanya untuk sektor pelancongan.
Mengulas lanjut katanya, Malaysia dan Thailand juga telah bersetuju untuk mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19 masing- masing.
Katanya, langkah itu amat penting untuk menyokong usaha-usaha pembukaan semula sempadan kedua-dua negara.
“Kita juga akan susuli dengan pengiktirafan sijil vaksin digital dan integrasi dua aplikasi MySejahtera Malaysia dan MorProm Thailand bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara.
Sementara itu, katanya, Malaysia dan Thailand akan meneroka peluang kerjasama dalam kajian serta penyelidikan vaksin Covid-19 dan juga vaksin-vaksin lain.
Selain itu, katanya, Malaysia telah melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara dan penjenamaan semula Institut Genom dan Vaksin Malaysia (IGVM) pada 1 November tahun lalu.