
YAOUNDE – Pemain sensasi Liverpool, Sadio Mane berjaya membawa Senegal meraih gelaran pertama Piala Negara-Negara Afrika menerusi kemenangan 4-2 mengatasi juara tujuh kali, Mesir selepas seri 0-0 di Stadium Olembe, Yaounde, Cameroon sebentar tadi.
Mane yang sebelum itu gagal menyempurnakan penalti pada awal permainan bagaimanapun menebus semula kesilapan itu dengan menjaringkan gol kemenangan dalam penentuan penalti.
Penjaga gol, Edouard Mendy menyelamatkan cubaan Mohanad Lasheen pada penentuan penalti itu bagi memberikan Mane peluang mencipta kemenangan buat Senegal.
Kemenangan itu juga merupakan satu kejayaan buat jurulatih Senegal, Aliou Cisse, yang pernah menjadi kapten skuad itu pada 2002 apabila mereka tewas pada perlawanan akhir menerusi penalti di tangan Cameroon.
Mesir yang perlu melalui perlawanan itu tanpa jurulatih, Carlos Queiroz yang digantung berjuang untuk mencari kemenangan namun gagal mendapat peluang dengan tonggak mereka, Mohamed Salah gagal menyerlah.