Sistem bermasalah, PAPSMA persoal syarikat kontroversi Bestinet terlibat dalam proses pengambilan pekerja asing

0
53
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) mempersoalkan langkah kerajaan yang menganugerahkan tender kepada syarikat kontroversi Bestinet Sdn Bhd untuk menguruskan permohonan pengambilan pekerja asing masuk ke negara ini.

Menurut Setiausaha Agungnya, Dr Sukumaran Nair, ini kerana sejak program itu berjalan mulai 15 Februari lalu, majikan yang bernaung di bawah pertubuhan tersebut langsung tidak mendapat maklum balas permohonan yang dibuat meskipun kerajaan melaporkan telah menerima sebanyak 111,807 permohonan.

“Kami sangat terkejut bagaimana Bestinet
yang merupakan syarikat penuh kontroversi beberapa tahun lalu berhubung skandal pengambilan pekerja asing muncul semula dalam program ini dengan menggunakan sistem pautan yang sama.

“Sistem ini yang dihubungkan dengan Bestinet buat masa ini dikawal selia dan beroperasi oleh syarikat yang sama berdiri di belakang Jabatan Imigresen.

“Sejak program itu dilancarkan pada 15 Februari lalu hingga ke hari ini tiada satu pun kelulusan rasmi diberikan kepada majikan setakat yang pihak persatuan tahu. Ini kerana kami dimaklumkan sistem berkenaan menghadapi banyak masalah ketika permohonan dilakukan,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Katanya, pihak PAPSMA sangat mengalu-alukan langkah yang dibuat oleh Kementerian Sumber Manusia dengan melancarkan pautan merektrut pekerja asing melalui Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing (FWCMS) itu namun, sehingga kini pihaknya masih belum mendapat pengumuman mengenai cara menggunakan sistem berkenaan.

Malah katanya, majikan dan agensi pekerja asing swasta yang berdaftar juga masih tertanya-tanya bagaimana untuk menggunakan sistem tersebut walaupun sistem yang sama pernah wujud sepanjang tempoh 2016 hingga 2018.

Menurut Sukumaran lagi, pihaknya juga hairan apabila kelulusan yang diberikan untuk mengambil pekerja asing dari negara sumber bermula 2018 hingga 2020 diberikan tempoh lanjutan sehingga 2023 oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Semua kelulusan yang telah tamat tempoh sepanjang tempoh waktu itu telah diberikan lanjutan sehingga tahun hadapan untuk majikan yang telah membayar levi untuk merekrut pekerja asing melalui program baharu itu.

“Bagaimanapun majikan yang menerima lanjutan pengambilan itu masih belum lagi mendapat kenyataan rasmi berhubung perkara itu melalui pihak kedutaan.

“Apabila kami cuba berhubung dengan Kedutaan Bangladesh untuk mendapatkan maklumat lanjut, mereka mendakwa masih belum mendapat arahan yang jelas daripada Kementerian Luar dan Ekspatriat Bangladesh berhubung program baharu ini,” katanya.

Katanya, pihaknya dimaklumkan bahawa kerajaan Bangladesh sedang menunggu jawapan rasmi daripada Kementerian Sumber Manusia berhubung satu surat bertarikh 18 Januari untuk tindakan selanjutnya.

Lebih membimbangkan, katanya, pekerja yang telah menerima surat lanjut kontrak itu kini tertanya-tanya sama ada kelulusan itu terpakai atau tidak memandangkan pihak kedutaan masih belum memberikan sebarang kelulusan.

Sehubungan itu, katanya, PAPSMA mendesak supaya pihak kementerian terbabit mengambil serius isu berkenaan bagi mengisi ribuan peluang pekerjaan yang masih kosong.

Beliau berkata, sebarang penangguhan hanya akan menyebabkan negara kehilangan berbilion ringgit disebabkan kelewatan dari segi operasi dan eksport sehingga menjejaskan ekonomi negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here