
CYBERJAYA – Konsortium perubatan, Siti Healthcare Sdn. Bhd. hari ini menandatangani memorandum persefahaman dengan Universiti Cyberjaya (UoC) bagi menjalin kerjasama dalam memperkukuhkan industri penjagaan kesihatan negara.
MOU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Siti Healthcare Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. Muhammad Ali Yahya manakala UoC diwakili oleh Timbalan Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Shaharuddin Mohd.
Perjanjian tersebut antara lain meliputi kerjasama dalam bidang latihan, peningkatan kerjaya dan peluang pekerjaan terutamanya dalam bidang pembantu perubatan.
Dr. Muhammad Ali yang turut menjawat jawatan sebagai Pengerusi Siti Group berkata, selaku pemain industri penjagaan kesihatan primer, pihaknya melihat adanya keperluan dalam meningkatkan perkhidmatan kepada pelanggan sedia ada.
“Kami percaya pada perlunya memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, dan ia bermula dari kakitangan kami sendiri.
“Oleh sebab itu, kami jalinkan kerjasama dengan UoC kerana kami percaya pada kemampuan mereka menghasilkan sumber manusia yang berkebolehan dan berkualiti dalam bidang ini,” kata Dr. Muhammad Ali, hari ini.
Pada masa yang sama, Dr. Muhammad Ali menjelaskan, tenaga kerja Siti Healthcare turut berpeluang untuk meningkatkan kemahiran mereka dengan menyambung pelajaran mereka di UoC.
Buat masa ini, Siti Healthcare mengoperasikan 33 buah klinik di seluruh negara, dan bakal membuka 13 buah klinik lagi pada suku kedua tahun ini.