
CYBERJAYA – Jemaah umrah yang pulang ke negara ini akan melalui prosedur operasi standard (SOP) yang baharu berkuatkuasa 14 Februari ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, pelaksanaan SOP baharu kepada jemaah yang sudah dan akan berangkat ke Tanah Suci itu termasuk perintah kuarantin wajib dan suntikan dos penggalak.
“Kerajaan tahu bahawa ada jemaah yang berangkat ke Tanah Suci hari ini. Oleh itu, untuk jemaah umrah yang akan ke Arab Saudi hari ini sehingga 13 Februari, mereka terikat dengan SOP sedia ada.
“Walaubagaimanapun, apabila mereka pulang semula ke tanah air kelak, mereka diwajibkan mematuhi SOP baharu yang telah dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hishamuddin berkata, SOP lain termasuk kewajipan mengambil dos penggalak dan membenarkan kuarantin wajib di tempat kediaman tanpa memohon kelulusan kuarantin Kediaman.
Katanya, bagi jemaah yang memilih untuk menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin swasta dengan kos penginapan, makan minum dan rawatan ditanggung sendiri.
Selain itu, SOP itu juga menetapkan wakil dari agensi pelancongan memantauu kepatuhan jemaah semasa di Tanah Suci, perjalanan pulang ke tanah air dan semasa di pintu masuk antarabangsa.
Arahan itu dikeluarkan berikutan kebenaran semula mengerjakan ibadah umrah yang bermula hari ini.
Dalam pada itu, Hishamuddin turut memaklumkan bahawa SOP pemeriksaan suhu badan dan buku rekod check in telah dimansuhkan bermula 11 Februari.
“Dengan pemansuhan ini, pihak pemilik premis tidak lagi diwajibkan untuk menyediakan alat pengimbas suhu dan buku rekod check in di pintu-pintu masuk premis masing-masing.
“Namun check in menggunakan aplikasi MySejahtera masih diwajibkan seperti biasa,” ujarnya sambil menggalakkan pemilik premis meneruskan amalan pemeriksaan suhu dan buku rekod check in.