
KUALA LUMPUR – Sebanyak 239 calon daripada 11 parti disahkan bertanding dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 pada 12 Mac nanti.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, jumlah itu termasuk dari 16 calon bebas yang disahkan layak bertanding selepas tempoh penamaan calon tamat pada pukul 10 pagi tadi.
Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mengemukakan bilangan calon paling ramai iaitu 56 orang iaitu di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.
“Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon di 30 DUN, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di 42 DUN, Parti Keadilan Rakyat (PKR) di 20 DUN, calon Bebas di enam kerusi, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di tujuh kerusi dan Parti Warisan Sabah (Warisan) di enam DUN.
“Turut meletakkan calon katanya, Parti Bangsa Malaysia (PBM) (4) dan Parti Bumiputera Perkasa (Putra) serta Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang calon,” katanya.
Abdul Ghani berkata, sebanyak 2 DUN menyaksikan persaingan tujuh penjuru, 4 DUN enam penjuru, 8 DUN lima penjuru, 4 penjuru di 35 DUN dan 3 penjuru di tujuh DUN.
Daripada jumlah itu, PRN Johor menyaksikan 202 calon lelaki bertanding berbanding 37 wanita.
Datuk Tosrin Jarvanthi, 71, merupakan calon tertua dalam PRN Johor. Beliau bertanding di Bukit Permai mewakili Perikatan Nasional.
Calon yang termuda untuk PRN kali ini bertanding di DUN Mengkibol (Barisan Nasional) dan Tangkak (Parti Pejuang Tanah Air), masing-masing berusia 26 tahun.
Tempoh berkempen secara rasminya bermula hari ini dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 11 Mac ini.