SPRM siasat dakwaan pegawai kanan MARA terlibat salah guna kuasa

0
25
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memulakan siasatan terhadap beberapa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) berhubung dakwaan salah guna kuasa.

Menurut SPRM dalam satu kenyataan, siasatan akan dimulakan Isnin ini dengan mengambil keterangan beberapa saksi daripada MARA Corporation (MARA Corp).

“SPRM memandang serius dakwaan wujud isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan MARA yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi berkenaan.

“Susulan itu, SPRM telah menerima satu aduan berkaitan isu ini dan akan memulakan siasatan pada 7 Februari 2022 dengan mengambil keterangan beberapa saksi daripada MARA Corporation,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, SPRM memaklumkan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, iaitu berkaitan pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.

Semalam, tular beberapa dokumen menerusi media sosial terdapat beberapa individu berpangkat tinggi dalam organisasi itu bertindak menyalahgunakan kuasa mereka.

Bagaimanapun, Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun menafikan berlaku salah guna kuasa atau urus tadbir dalam agensi itu dan anak syarikatnya seperti didakwa menerusi satu dokumen yang tular di media sosial.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here