Status vaksinasi terbatal jika gagal ambil ‘booster’ sebelum 1 Mac

0
144
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac 2022.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sehubungan itu, golongan tersebut diminta hadir segera bagi mendapatkan dos penggalak secara walk-in di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran.

“Kementerian Kesihatan (KKM) ingin memaklumkan sekali lagi, semua penduduk berusia 60 tahun dan ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac 2022,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Khairy, langkah itu perlu diambil kerana risiko jangkitan teruk juga adalah lebih tinggi dalam kalangan warga emas.

Katanya, daripada 32,034 kematian sehingga 6 Februari lalu sebanyak 18,362 atau 57.32 peratus melibatkan warga emas.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat lebih kurang 32 peratus atau 1 juta warga emas yang masih belum mengambil dos penggalak.

Sementara itu, Khairy juga menggesa mereka yang bergejala menjalani segera ujian Covid-19; memuat naik keputusan sama ada positif atau negatif ke MySejahtera.

Katanya, individu positif Covid-19 kategori 1 (tiada gejala) dan 2A (gejala ringan), dan tidak berisiko tinggi (60 tahun ke bawah dan tidak mempunyai sebarang komorbid) tidak perlu hadir ke Pusat
Penilaian Covid-19 (CAC).

Khairy berkata, pesakit hanya perlu melakukan pemantauan kendiri setiap hari melalui Health Assessment Tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera dan sekiranya  tidak menjalankan pemantauan kendiri melalui MySejahtera pihaknya akan menghubungi melalui SMS atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here