
CYBERJAYA – Pengasas Kumpulan Malakat Eco dan Brainy Bunch, Mohd Fadzil Hashim mengaku pernah ditipu pelbagai pihak melibatkan kerugian berjuta-juta ringgit.
Namun katanya, penipuan bukanlah sesuatu yang asing dalam dunia perniagaan bahkan untuk seseorang usahawan itu berjaya, agak mustahil sekiranya tidak pernah ditipu.
“Tuan-puan saya ni banyak kali kena tipu, ada rakan perniagaan, ada kontraktor, vendor, bahkan ada dari orang yang saya tidak kenal,” katanya dalam sesi Live Facebooknya dari Turkiye petang ini.
Beliau berkata, selain ditipu rakan perniagaan melibatkan jumlah jutaan ringgit, beliau juga pernah ditipu individu yang sudah dianggap macam ahli keluarga sendiri.
“Kalau banyak kali kena tipu dengan orang yang kita baharu kenal itu biasa, tapi kalau orang tu kita dah kenal lama, rasa tu lebih berat lagi,” katanya.
Lebih malang katanya, ada dalam kalangan golongan tersebut yang bukan sahaja menipu, bahkan mereka-reka cerita kononnya mereka yang menjadi mangsa tipu.
“Saya ada satu kawan, sudah berbelas tahun bersama dalam perniagaan. Berjuta-juta sudah dia terima hasil dari perniagaan tapi akhirnya menipu saya.
Bagaimanapun menurut Mohd Fadzil, beliau sentiasa berpegang kepada prinsip untuk terus memaafkan mereka yang telah dan akan menipu beliau kerana percaya semua harta dalam dunia ini milik Allah.
“Pemahaman saya dalam hidup ini sebenarnya tiada istilah rugi. Sebab anda mungkin fikir anda untung selepas mengambil duit saya, tapi ia tidak begitu.
“Walaupun hakikatnya saya memang hilang duit tapi Allah akan ganti lebih banyak lagi di tempat lain.
“Dan kita kena ingat, kena tipu pun adalah kebaikan untuk kita iaitu kebaikan atas ujian dan cara kita menerima ujian itu,” katanya.
Ujar beliau, dalam konsep pemilikan harta, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Allah yang berkuasa memberi, menambah dan melindungi harta manusia.
“Sebab itu saya pernah cakap kalau sesiapa nak mencuri tolonglah datang ke Malakat Mall, curilah kalau anda rasa curi itu boleh bagi anda kejayaan, sebab semua itu milik Allah.
“Saya hanya dipertanggungjawabkan untuk menguruskan perniagaan dan lebih seribu kakitangan, kalau ada yang nak menipu saya nak buat macamana?,” katanya.
Bagaimanapun beliau mengakui tidak pernah kecewa apabila ditipu memendam perasaan kepada perkara yang sudah berlaku tidak akan mengubah apa-apa.
“Tindakan lebih baik adalah move-on dan mendoakan kebaikan untuk si penipu semoga mereka tidak mengulangi perbuatannya,” katanya.
Katanya, apa yang lebih penting adalah memaafkan dan merancang apa perlu dilakukan seterusnya kerana setiap daripada ujian dari Allah akan disoal oleh-Nya.
“Sebab itu saya selalu bagitahu, kalau saya ada salah atau hutang dengan sesiapa, sila datang jumpa saya,” katanya.