Syor MPN supaya sempadan negara dibuka belum boleh dilaksanakan – PM

0
14
ISMAIL SABRI

CYBERJAYA – Syor Majlis Pemulihan Negara (MPN) supaya sempadan negara dibuka pada 1 Mac belum boleh dilaksanakan kerana memerlukan penelitian lanjut.

Laporan Portal BH Online menyebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan itu juga masih belum dibincangkan dalam Kabinet, selain perlu dirujuk kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan saranan dan nasihat.

“Itu hanya cadangan MPN, cadangan itu perlu dibincangkan dan mungkin pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) boleh duduk sama dalam perkara ini. Jika perlu perkara itu mendapatkan kelulusan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan Kabinet kita akan bincang perkara ini.

“Cuma saya mahu maklumkan buat masa sekarang, tiada perbincangan lagi yang dibuat, itu hanya cadangan daripada MPN. Buat masa ini, sempadan masih belum sesuai dibuka dengan peningkatan kes Covid-19 di kebanyakan negara termasuk Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Ledang, di Tangkak yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Hasni Mohammad.

Pada 8 Feb lalu, MPN bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib, seawal 1 Mac depan.

Dalam pada itu, Ismail berkata, keutamaan kerajaan kini adalah untuk mengimbangi isu kesihatan serta keperluan pembukaan semula sempadan negara yang membabitkan pelancongan sebagai industri utama.

Katanya, pembukaan semula sempadan negara ada dalam perancangan kerajaan, tetapi bukan dalam tempoh terdekat berikutan penularan wabak masih berlaku.

“Kita bukan hanya mahu bantu sektor pelancongan, tapi mahu menjaga rakyat negara kita sebab kita tidak mahu pelancong datang membawa jangkitan. Itu lebih bahaya. Biar KKM buat kajian lebih terperinci.

“Walaupun perlu saya katakan yang akhir nanti ia (sempadan negara) perlu dibuka juga, kita akan pertimbangkan (pembukaan sempadan) kerana kita mahu mengimbangi industri pelancongan dengan kesihatan rakyat,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here