Terowong SMART seperti di KL dicadang dibina di Shah Alam

0
20
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kerajaan bercadang untuk membina Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) seperti yang terdapat di ibu negara terutama di bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Shah Alam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sebagai langkah penyelesaian mengatasi masalah banjir bagi tempoh jangka masa panjang dan pendek.

Ismail Sabri berkata, pada masa sama turut dipersetujui secara dasar dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikannya semalam adalah membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan seperti ‘sponge city’ di China.

“Ia adalah antara cadangan jangka pendek dan jangka panjang yang dikemukakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang dipersetujui secara dasar pada mesyuarat itu.

“Turut dicadangkan ialah untuk mewujudkan takungan air atau ‘kota takungan pinggir sungai’ seperti yang dilaksanakan di Belanda,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, katanya, mesyuarat secara dasarnya turut bersetuju untuk memindahkan kawasan kampung di tepi sungai yang berisiko banjir ke kawasan yang lebih tinggi; mewujudkan Pusat Ramalan Cuaca Numerikal Kebangsaan; meningkatkan sistem siren dan amaran berkaitan banjir di pusat Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) selain pemantauan bencana banjir menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Selain itu, katanya, turut dicadangkan ialah dengan membangunkan sistem ramalan dan amaran banjir berasaskan kecerdasan buatan serta sistem amaran awal banjir lumpur; menaik taraf 100 buah stesen pencerapan cuaca permukaan automatik sedia ada yang usang; mengawal penebangan hutan dan pemberian kelulusan pelan perancangan bandar hendaklah mengambil kira risiko banjir.

Beliau berkata, mesyuarat itu juga bersetuju terhadap cadangan untuk mengenal pasti pusat pemindahan sementara (PPS) tetap dilengkapi kemudahan seperti tandas, bilik mandi dan stor untuk penyimpanan barangan keperluan asas bagi mangsa banjir seperti tilam, dan khemah serta kawasan sekolah berasrama yang dijadikan PPS akan dijadikan kawasan penempatan mangsa banjir.

Ismail Sabri berkata, pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diberikan tanggungjawab untuk memastikan saluran perparitan dalam keadaan baik.

Katanya, KASA turut mencadangkan supaya sungai-sungai utama dinaiktaraf, didalam dan dilebarkan; benteng dan ban sungai serta parit ditinggikan; dan membina lebih banyak tebatan banjir.

Dalam pada itu katanya, turut dicadangkan adalah pembinaan empangan dan stesen pintu kawalan air (baraj) bagi mengawal kenaikan paras air.

“Penyelesaian secara komprehensif ini memerlukan peruntukan yang besar membabitkan ratusan bilion ringgit yang memakan masa panjang, oleh itu mesyuarat bersetuju supaya kerajaan memfokuskan terhadap kawasan berisiko tinggi dan diberikan keutamaan untuk melaksanakan pelan penyelesaian masalah banjir,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here