TFC dakwa pemain import Penang FC jadi punca pergaduhan

0
228
Aksi antara Penang FC dan TFC II semalam dicemari dengan aksi pergaduhan di padang

CYBERJAYA – Tindakan pemain import Penang FC, Endrick dos Santos menumbuk bahagian belakang pemain Terengganu FC II (TFC II), Aqil Irfanuddin selepas diprovokasi didakwa menjadi punca pergaduhan antara kedua-dua pasukan itu semalam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab Rasid Jusoh, keadaan itu diburukkan lagi selepas pemain penyerang import Penang FC, Casagrande melakukan terjahan ke atas bahagian belakang badan pemain TFC II, Ridzuan Razali.

“Salah seorang pemain Terengganu FC II berjersi nombor 19 (Firdaus Rusdi) bertindak balas dengan turut melakukan terjahan ke atas Casagrande.

“Keadaan semakin tidak terkawal apabila berlaku pergelutan hampir kesemua pemain. Setelah hampir berjaya dileraikan, pemain TFC II yang dikejar dua orang pemain Penang FC bertindak balas dengan mempertahankan diri secara spontan menumbuk muka pemain Penang FC berjersi nombor 28 (Adib Raof) dan keadaan tersebut menyebabkan berlaku pendarahan dibahagian hidung pemain tersebut.

“Pihak pegawai keselamatan, pegawai pasukan serta pegawai perlawanan seterusnya berjaya mengawal kekecohan yang berlaku dan perlawanan separuh masa pertama ditamatkan dan kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ab Rasid, setelah perbincangan bersama pihak pengadil perlawanan, penilai pengadil, koordinator perlawanan, dan wakil kedua-dua pegawai pasukan, kesemua pihak bersetuju untuk meneruskan perlawanan bagi aksi separuh masa kedua.

Malah, katanya, pihak penganjur juga memberi jaminan keselamatan dengan menempatkan anggota keselamatan dan petugas di kawasan kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun, katanya, pasukan Penang FC tidak mahu meneruskan perlawanan dan meninggalkan bilik persalinan serta menaiki bas pasukan.

“Untuk makluman juga, pemain TFC II jersi bernombor 11 (Ridzuan) juga telah dihukum dengan dilayankan kad merah oleh pengadil perlawanan sebelum diteruskan separuh masa kedua.

“Disebabkan pemain-pemain pasukan Penang FC tidak mahu meneruskan perlawanan ini, pengadil menamatkan perlawanan dengan tiupan wisel kerana para pemain Penang FC gagal memasuki padang untuk meneruskan perlawanan.

“Berdasarkan peraturan pertandingan yang digunapakai ( Peraturan Pertandingan Klausa 17.1 Tarik Diri atau Gagal Bermain ), mana-mana pasukan yang gagal, menarik diri serta tidak mahu meneruskan perlawanan, pasukan tersebut akan dikira kalah 3-0,” ujarnya.

Menurut Ab Rasid, susulan insiden itu, pihak pengurusan TFC serta penganjur kejohanan telah berjumpa bersama pihak pengurusan Penang FC untuk memohon maaf.

Beliau berkata, pemain dan pegawai pasukan Penang FC telah berangkat pulang ke hotel penginapan dalam keadaan terkawal sepenuhnya.

“Pihak pengurusan TFC juga mendoakan agar salah seorang pemain Penang FC yang mengalami kecederaan tersebut tidak mengalami kecederaan yang serius serta mampu meneruskan karier sebagai seorang pemain professional.

“Pihak pengurusan TFC akan memanggil pemain-pemain yang terlibat dengan insiden tersebut serta pegawai pasukan TFC II untuk mendapatkan penjelasan penuh berkenaan perkara yang berlaku.

“Pihak TFC juga berharap insiden seperti ini tidak akan berulang lagi dan menjadikannya iktibar dan pengalaman untuk penganjuran mendatang,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here