Tipu kad pengenalan: Polis cari Sajjad

0
60
Sajjad dikehendaki pihak polis bagi bantu siasatan kes penipuan kad pengenalan

AMPANG – Usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman masih dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes penipuan menukar maklumat pada kad pengenalan.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dalam kenyataan di Facebook, dia yang lebih dikenali sebagai Nur Sajat dikehendaki hadir prosiding perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Ampang Jaya pada 22 Februari ini.

“Bahagian Siasatan Jenayah Komersil masih dalam usaha mengesan saksi bagi perbicaraan di Mahkamah Ampang.

“Saksi iaitu Muhammad Sajjad beralamat terakhir di No 2 Jalan Polo Country Club Selangor, 10/3 Kota Damansara, Seksyen 10, Petaling Jaya, Selangor,” kata kenyataan itu hari ini.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Saksi berkenaan atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mastura Abdul Basher di talian 018-2053955.

Media sebelum ini melaporkan, Nur Sajat mengesahkan dirinya kini sudah berada di Australia.

Sajat sebelum ini ditahan Imigresen Thailand pada 8 September tahun lalu, kerana memiliki pasport tidak sah.

Dia kemudian dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara itu.

Dia didakwa di mahkamah Thailand pada 9 September, bagaimanapun dibebaskan keesokannya dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan selain diarah melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari.

Ketika berada di Thailand, dia menjadi pemegang kad pelarian Suruhanjaya Pelarian Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dan mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here